by

Konsortium import daging – Utusan Digital

News Sources:

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menubuhkan sebuah konsor­tium bagi mengendalikan pro­ses mengimport daging ke negara ini secara telus dan paling penting diyakini halal.

Penubuhan konsortium ter­sebut sekali gus dapat meng­ha­lang kegiatan kartel pengimportan menggunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Ja­kim) palsu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Da­­tuk Nadzim Johan berkata, menerusi konsortium itu, urusan mengimport hanya diberikan ke­pada syarikat-syarikat yang diuruskan orang Islam.

“Isu kartel daging import ‘panas’ seminggu ini dan antara penyelesaian ialah kemungkinan kerajaan boleh tubuhkan konsortium dikendalikan hanya oleh syarikat Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, syarikat-syarikat Islam itu kemudian akan menjadi ejen yang membawa daging halal masuk ke dalam negara.

Kata Nadzim lagi, konsortium tersebut akan berurusan terus dengan abatoir dan loji pemprosesan di luar negara bagi mengelakkan penglibatan mana-mana sindiket atau orang tengah.

“Menerusi rantaian tersebut ia diyakini dapat mengelakkan daging import yang dibawa masuk adalah tidak halal,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata beli­au, Jakim dan konsortium per­lu sentiasa bekerjasama bagi memastikan urusan memba­wa daging import mengikut prosedur secara berterusan.

Akhbar-akhbar sebelum ini mendedahkan kartel da-ging import yang mendalangi penyeludupan dikesan membawa masuk daging sejuk beku yang diragui status halal selepas pemeriksaan di sebuah gudang di Senai, Johor.

Modus operandi kartel ter­sebut antara lain mengupah pe­gawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
Malaysia banyak mengimport daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum ia dibungkus semula denga meletakkan logo halal.
Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) bagi Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) menyokong cadangan PPIM dan melihatnya sebagai langkah menghampiri penyelesaian kepada isu yang meresahkan orang Islam.
Presidennya, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, penubuhan satu konsortium diterajui syarikat Islam adalah inisiatif positif sekali gus membanteras sindiket import daging haram.
“Cadangan itu boleh dibin­cangkan dengan lebih menda­lam oleh kerajaan seperti cara pelaksanaan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, di Dewan Negara semalam, Senator Muhammad Zahid Md. Arip mencadangkan supaya Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengetuai pasukan petugas khas menyiasat isu kartel daging.
Cadangan itu dikemukakan Muhammad Zahid ketika membahaskan usul khas berkenaan kartel daging yang dibawa Senator Asmak Hussin.
Muhammad Zahid berkata, meskipun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menjadi solusi terbaik untuk mengenal pasti punca ketirisan, namun proses­nya akan memakan masa panjang.

Oleh itu, kata beliau, pasukan petugas khas perlu ditubuhkan dalam masa terdekat dan perlu membentangkan hasil siasatan dalam tempoh 14 hari.

“Untuk tempoh segera sa­ya mencadangkan kerajaan menubuhkan pasukan pe­tu­gas khas. Saya cadangkan dipengerusikan sendiri oleh Ketua Polis Johor dengan dianggotai oleh wakil-wakil agensi terbabit.
“Datuk Ayob Khan seorang pegawai polis yang cukup tegas, cukup berani dan tak takut kepada ugutan kartel-kartel ini.

“Perlu dikemukakan dalam bentuk kertas putih dalam satu sidang khas Parlimen. Saya yakin kalau ada keseriusan yang begini perkara ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” kata beliau.
Hari terakhir persidangan, Dewan Negara membenarkan usul berkenaan isu kartel daging haram untuk dibahaskan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu dibahaskan mengikut Peraturan 17 (1) dengan pihak pencadang dibenarkan membahas tidak melebihi 30 minit dan pihak kerajaan untuk menjawab dalam tempoh yang sama. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed