by

KPDNHEP serbu kilang seleweng gas cecair petroleum bersubsidi

News Sources:

KUALA LUMPUR – Kegiatan sebuah kilang memproses sarung tangan didapati menyelewengkan gas petroleum cecair bersubsidi di Kuala Selangor dekat sini berjaya dibongkar semalam.

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kuala Selangor mendedahkan kegiatan itu menerusi serbuan oleh pasukan penguatkuasanya pukul 3.30 petang di Kampung Assam Jawa.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan itu dilaksanakan selepas menjalankan risikan selama dua bulan selepas mencurigai aktiviti yang dijalankan oleh kilang berkenaan berikutan terdapat hampir setiap hari penghantaran gas petroleum cecair oleh pembekal ke kilang terbabit.

“Ketika serbuan dijalankan, pasukan serbuan telah bertemu dengan seorang lelaki Cina yang berusia dalam lingkungan 52 tahun yang disyaki sebagai pemilik syarikat berkenaan.

“Hasil soal siasat awal dan keterangan lelaki berkenaan mengaku kilang itu baru beroperasi sejak sembilan bulan yang lalu dan menjalankan aktiviti memproses sarung tangan getah bagi pasaran di dalam negara.

“Kilang berkenaan mula menggunakan gas petroleum cecair bersubsidi sejak enam bulan yang lalu berikutan harganya jauh lebih murah daripada gas petroleum cecair industri,” katanya menerusi kenyataan kejayaan serbuan hari ini.

Tambah beliau, kilang berkenaan memperolehi bekalan gas petroleum cecair bersubsidi itu dari satu syarikat pembekal berlesen yang terletak di Cheras Kuala Lumpur.

Menurut Muhamad Zikril, dianggarkan penggunaan silinder gas petroleum cecair bersubsidi oleh kilang terbabit setiap bulan adalah mencecah 1,000 silinder.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kilang berkenaan, pasukan serbuan telah berjaya menemui sejumlah 166 silinder gas petroleum cecair bersubsidi yang berisi serta 159 silinder gas petroleum cecair bersubsidi yang tidak berisi.

“Turut disita semasa kejadian adalah sebuah lori jenama Hino yang digunakan untuk mengangkut gas petroleum cecair bersubsidi berkenaan.

“Nilai rampasan bagi gas petroleum cecair bersubsidi lebih kurang RM45,000 manakala kenderaan lori yang disita bernilai RM30,000 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan mencecah RM75,000.

“Turut ditemui dilokasi kejadian adalah resit penghantaran gas petroleum cecair bersubsidi oleh pembekal dari Cheras Kuala Lumpur,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan telah kehilangan hampir RM200,000.00 nilai subsidi akibat daripada aktiviti penyelewengan gas oleh kilang berkenaan sejak Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, nilai subsidi yang berjaya diselamatkan pada serbuan yang dijalankan semalam kira-kira berjumlah RM8,000.

Kes disiasat dibawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau dihukum penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

“Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, akan didenda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

“Pihak KPDNHEP Selangor akan menjalankan siasatan terperinci bagi menyabitkan kesalahan terhadap pemilik kilang berkenaan serta serius memburu pembekal yang terlibat disebalik aktiviti ini sehingga mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit akibat daripada aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair bersubsidi,” katanya.

Siasatan lanjut secara terperinci juga akan dibuat termasuklah mengesan pemilik premis tersebut untuk diheret ke mahkamah dan sebarang aduan boleh disalurkan kepada Kementerian ini melalui portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, Emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088 serta talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC)

Selain itu aduan juga boleh dikemukakan menerusi Whatsapp ke 019- 279 4317 atau terus melapor atau hadir terus ke mana-mana tujuh buah pejabat cawangan KPDNHEP Selangor.- MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed