by

KPKT lulus RM8.9j bangun projek kawasan pelancongan

News Sources:

PORT DICKSON 8 Jan.- Sebanyak RM8.9 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di tiga buah kawasan seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata,

peruntukan tersebut adalah menerusi peruntukan Bahagian Pembangunan 1 (BP1) iaitu projek-projek kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan tumpuan diberikan kepada kawasan-kawasan pelancongan.

Setakat ini jelasnya, sebanyak tiga buah daerah telah diluluskan peruntukan berkenaan iaitu Kota Tinggi, Johor, Hulu Selangor, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Menerusi peruntukan itu tahun ini, kami mahu memberikan tumpuan kepada kawasan-kawasan pelancongan yang akan menjana ekonomi dan memberikan hasil kepada PBT. Tempat-tempat yang boleh menjana ekonomi adalah kawasan pelancongan.

“Di Port Dickson, kementerian telah meluluskan sebanyak RM1.9 juta untuk pembangunan 11 kawasan pantai dengan lima tema yang telah dikenal pasti. Buat permulaan peruntukan itu adalah untuk kerja-kerja menaik taraf gerai, wakaf, kawasan riadah dan medan selera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama Penggerak Komuniti Tempatan dan penyerahan pelitup muka di pejabat Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dekat sini, hari ini.

Jelas Zuraida lagi, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk kawasan Hulu Selangor manakala RM2 juta diluluskan untuk pembangunan pelancongan di kawasan Tanjung Sedeli, Kota Tinggi.

Sementara itu, jelas beliau, projek kediaman Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Port Dickson di Lukut dekat sini dijangka siap pada akhir bulan Jun tahun ini.

“Sepatutnya projek tersebut siap pada bulan Disember tahun lalu tetapi kerana isu Covid-19 dan sebagainya dan kini akan dimulakan semula dan dijangka siap pada Jun tahun ini, insya-Allah akan diberikan kunci kepada pembeli.

“Pembeli-pembeli juga telah diberi taklimat berhubung kelewatan ini dan hasil lawatan saya ke tapak pembinaan dan secara puratanya ia telah siap 75 peratus. Projek ini sangat mendapat sambutan, daripada 659 unit rumah di kawasan itu ia telah menerima permohonan sepenuhnya dan 80 peratus daripada permohonan itu telah mendapat kelulusan pembiayaan daripada pihak bank,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed