by

Kutipan zakat di Wilayah Persekutuan RM756 juta melebihi sasaran

News Sources:

PUTRAJAYA: Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya menerima kutipan zakat melebihi sasaran sepanjang tahun lalu.

 Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sambil mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada semua pembayar zakat.

“Sukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa kutipan sehingga 31 Disember 2020 telah melebihi sasaran dengan keseluruhan sebanyak RM756 juta,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jumlah itu ujar beliau, lebih tinggi berbanding hanya RM682 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya dengan menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus atau RM74 juta.

Pencapaian itu merupakan yang terbaik dalam sejarah penubuhan PPZ MAIWP sejak 30 tahun lalu walaupun ketika seluruh negara tengah berhadapan dengan pandemik Covid-19.  

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kutipan zakat telah menunjukkan peningkatan amat luar biasa dan terharu dengan sokongan yang diberikan oleh semua,” jelas Zulkifli.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas MAIWP, beliau turut melihat kesungguhan ditunjukkan warga kerja PPZ MAIWP dalam menggerakkan pelbagai usaha dakwah zakat.

Mereka malah menyantuni setiap lapisan masyarakat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat disebut sebagai ‘Khaira PPZ’ terutamanya pada waktu sukar dihadapi oleh rakyat.

“Insya Allah, dengan kudrat yang ada, saya bersama-sama segala agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bertekad untuk terus menyantuni golongan asnaf sebaiknya,” kata beliau.

Zulkifli turut memberi jaminan bahawa setiap sen diperoleh PPZ akan diagih seadilnya kepada mereka yang memerlukan dan asnaf terus dibela agar dapat keluar dari kesukaran hidup.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah PPZ MAIWP yang diterajui Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff.

“Keyakinan dan kepercayaan umat Islam di Wilayah Persekutuan kepada kredibiliti MAIWP sebagai institusi pengurusan zakat akan terus saya pertahan dengan penuh integriti,” katanya.

PPZ ditubuhkan pada 1991 merupakan agensi zakat pertama yang dikorporatkan di Malaysia serta kini ada lapan cawangan di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan sebuah di Labuan. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed