by

Lagi 246 dikompaun ingkar SOP, 76 PATI ditahan

News Sources:

PUTRAJAYA: Sejumlah 246 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 236 individu terbabit dikompaun manakala baki 10 lagi direman dengan kes tertinggi aktiviti di pusat hiburan.

“Ia melibatkan 91 individu diikuti gagal sedia peralatan merekod butiran (84), tidak memakai pelitup muka (44), gagal jarak fizikal (23) dan lain-lain (4),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, sejumlah 2,955 pasukan pematuhan meliputi 13,431 anggota memantau 5,744 pasar raya, 4,871 restoran, 1,851 penjaja, 1,105 kilang, 3,256 bank dan 636 pejabat kerajaan.

Katanya, turut dipantau pasukan berkenaan ialah sebanyak 968 terminal pengangkutan darat, 276 terminal pengangkutan air dan 85 terminal pengangkutan udara.

Tambahnya, sejumlah 76 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong juga ditahan melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19.

“Lapan buah kenderaan darat dirampas manakala sebanyak 112 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” katanya.

Dalam pada itu, 28 operasi sanitasi awam meliputi tiga zon merah, tiga zon jingga, 10 zon kuning dan lapan zon hijau dengan melibatkan sembilan negeri dan dua wilayah persekutuan.

Menyentuh kuarantin wajib, beliau berkata, sehingga kini seramai 7,023 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu manakala 535 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Sejumlah 84,233 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 76 buah hotel serta 17 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di lima tapak binaan semalam turut mendapati kesemuanya mematuhi peraturan SOP ditetapkan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam melakukan pemeriksaan ke atas 664 buah premis iaitu 476 peruncit, 156 pemborong dan 32 pengilang.

“Turut dijalankan di seluruh negara ialah 600 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan kesemuanya didapati mematuhi peraturan kecuali satu premis yang diberi nasihat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed