by

Laman sesawang AIMS pangkalan data hubungkan bekas pelajar UPSI

News Sources:

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Alumni Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEP&A) hari ini melancarkan laman sesawang Alumni Information Management System (AIMS).

AIMS merupakan sebuah pangkalan data yang menghubungkan antara Pusat Alumni JHEP&A dan bekas pelajar institusi pengajian tersebut.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI ACP/ KS, Prof. Datuk DR. Md Amin Md Taff di Kampus Sultan Azlan Shah dan dipancarkan secara langsung melalui talian WEBEX dan Facebook Pusat Alumni.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI ACP/ KS Prof. Datuk DR. Md Amin Md Taff .

Menurut Md. Amin, majlis pelancaran diadakan secara dalam talian itu bertujuan untuk mempromosi AIMS yang dibangunkan oleh UPSI sebagai salah satu inisiatif pusat tanggungjawab jabatannya serta mengembangkan potensi pusat alumni yang menjalankan aktiviti berkaitan bekas pelajar pusat pengajian pendidikan tertua negara.

“Sebagai tonggak kepada institusi pendidikan negara, pihak Universiti mengalu-alukan cadangan inisiatif daripada setiap peringkat pengurusan dalam merealisasikan hasrat pendidikan negara untuk memacu Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Inisiatif yang dilaksanakan Pusat Alumni JHEP&A UPSI dengan membangunkan pangkalan data bekas pelajar yang dikenali sebagai alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) dilihat bertepatan dengan keperluan perhubungan antara dua entiti sekaligus mewujudkan jaringan kerjasama berterusan antara alumni dengan pihak UPSI,” jelasnya.

Justeru beliau menyeru kepada seluruh alumni AKSB daripada kesemua era untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat terkini dalam laman sesawang AIMS yang telah dibangunkan oleh pihak universiti sebagai salah satu tanggungjawab alumni terhadap alma mater.

“Setiap pendaftaran baru adalah percuma,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni JHEP&A, Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Shahril berkata, AIMS merupakan sistem pangkalan data mengandungi maklumat alumni daripada era Sultan Idris Teaching College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) dan era terkini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Sistem ini dibangunkan oleh Unit Komunikasi & Teknologi Maklumat dan sekumpulan penyelidik yang merupakan alumni AKSB yang diselia urus oleh Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Rasyidi Johan.

“Selain menjadi pusat pengumpulan data, AIMS adalah salah satu platform alumni untuk mendapatkan maklumat perkembangan terkini universiti selain memberi kemudahan kepada pihak universiti menyediakan data sebagai saluran untuk penanda aras seperti penarafan QS World Universiti Ranking,” katanya.

Tambah Izwan, terdapat ciri-ciri tambahan seperti curricular vitae (CV) yang dijana secara automatik apabila alumni mendaftar dan mengemaskini di laman sesawang AIMS sekaligus membantu pengembangan kerjaya mereka.

“Dengan maklumat-maklumat yang diperoleh, sekaligus dapat membantu UPSI mengesan perkembangan terkini mereka, menyokong aktiviti dengan menyediakan prasarana bersesuaian seperti majlis perjumpaan sekaligus menggalakkan alumni kembali menyumbang kepada alma mater,” tegasnya.

Alumni AKSB sudah boleh mendaftar dan mengemaskini maklumat di laman sesawang www.aims.upsi.edu.my bermula hari ini.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh hubungi pihak Pusat Alumni menerusi talian +6015 – 4879 7052 atau emel [email protected] -MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed