by

Lebih 2 minggu PKP, kes positif masih lebih 3,000 kes

News Sources:

PUTRAJAYA: Walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua minggu, kes positif Covid-19 masih mencatatkan melebihi 3,000 kes.

Semalam, kes harian terus merekodkan kes positif sebanyak 3,100 kes dengan 24 kematian tertinggi manakala Selangor menjadi penyumbang terbesar iaitu 1,196 kes.

Jumlah keseluruhan kes positif negara sebanyak 238,721 kes manakala jumlah kes aktif pula melebihi 50,000 kes iaitu 51,977 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 282 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang di mana 134 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kes sembuh pula direkodkan sebanyak 2,340 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 192,679 kes.

“Selain Selangor yang merekodkan kes tertinggi, negeri lain mencatatkan kes positif di bawah 500 kes iaitu Johor, 490 kes; Melaka, 344 kes; Kuala Lumpur, 295 kes; Pulau Pinang, 209 kes; Sabah, 169 kes dan Negeri Sembilan 104 kes.

“Baki negeri lain pula merekodkan kes dua angka iaitu Sarawak, 84 kes; Perak, 72 kes; Kedah, 37 kes; Kelantan, 30 kes, Terengganu, 30 kes; Pahang, 28 kes, Putrajaya, lapan kes; Perlis, empat kes dan Labuan, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, 24 kes kematian adalah rekod tertinggi seharian yang pernah dilaporkan yang mana seramai 21 pesakit adalah warga tempatan manakala tiga lagi, warga asing.

Katanya, kematian membabitkan seramai 15 lelaki termasuk dua warga asing dan sembilan wanita termasuk seorang warga asing berusia antara 44 tahun sehingga 98 tahun.

“Seramai lima orang iaitu pesakit lelaki termasuk dua warga asing berusia antara 45 hingga 74 tahun tidak mempunyai latar belakang penyakit.

“Baki pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, buah pinggang kronik, jantung, strok, Obstructive Sleep Apnea (OSA), anemia, asma, dementia, penyakit saraf dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD),” katanya.

Dalam perkembangan membabitkan kluster baharu, beliau berkata, sebanyak 13 kluster dikenal pasti melibatkan 11 kluster berkaitan tempat kerja manakala kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi, masing-masing satu kluster.

Katanya, 11 kluster berkaitan tempat kerja adalah empat di Selangor iaitu Kluster Jalan Sungai Rasa di Klang, 35 kes dari 79 individu; Kluster Jalan Teknologi di Petaling, sebanyak 21 kes dari 350 individu serta Kluster Persiaran Hulu di Petaling, sebanyak 19 kes dari 54 individu dan KLuster Tapak Bina Persiaran Mokhtar di Kuala Selangor, sebanyak 85 kes dari 147 individu.

“Manakala empat di Johor, Kluster Jalan Cyber Lima di Kulai, sebanyak 101 dari 150 individu, Kluster Jalan Harmonium di Johor Bahru, sebanyak lapan kes dari 78 individu serta Kluster Sri Menanti di Kluang, sebanyak 11 kes dari 20 individu dan Kluster Laman Desaru di Kota Tinggi, sebanyak 11 kes dari sejumlah 228 individu yang disaring.

“Tiga lagi adalah Kluster Lengkok Pantai melibatkan Kepong, Lembah Pantai, dan Titiwangsa, Kuala Lumpur, sebanyak 29 kes dari 122 individu serta Kluster Batu 38 di Kalabakan, Sabah, sebanyak 18 kes dari 38 individu dan Kluster Kampung Tandak melibatkan Besut dan Setiu, Terengganu, sebanyak 16 kes dari 196 individu,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Sebangkoi adalah kluster komuniti di Sri Aman, Sarawak, seramai 447 individu disaring, di mana 23 kes dikesan positif.

“Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi pula, Kluster Taman Bukit Petaling melibatkan Seremban dan Jelebu, Negeri Sembilan, seramai 187 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif,” katanya.

end





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed