by

Lepaskan tembakan selepas tuduh bekas jiran ada skandal dengan isteri

News Sources:

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas diacu senapang angin oleh seorang lelaki yang berang kerana mendakwa dia mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Kejadian itu berlaku di rumah lelaki berusia 30 tahun berkenaan di Sungai Semambu dekat sini kira-kira pukul 1 pagi semalam dan mangsa pernah tinggal berjiran dengan suspek sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, suspek yang dalam keadaan mengamuk dikatakan ke rumah mangsa sambil membawa selaras senapang angin dan menuduh mangsa mempunyai skandal dengan isterinya.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu menyedari kehadiran suspek selepas dia memecahkan cermin tingkap rumahnya.

“Ketika pengadu (mangsa) membuka pintu, suspek yang berada di hadapan rumahnya telah mengacukan senapang angin ke arah lelaki itu.

“Suspek meminta pengadu mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan isterinya, namun perkara itu dinafikan sebelum lelaki berkenaan melepaskan dua das tembakan amaran (ke udara),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shafee berkata, suspek kemudian beredar dari rumah mangsa dan mengeluarkan kata-kata ugutan akan membunuh lelaki itu sekiranya dia membuat laporan polis.

“Supek berusia 30-an itu bagaimanapun ditahan polis semalam dan polis turut merampas selaras senapang angin.

“Siasatan polis mendapati mereka sebelum ini berjiran selang beberapa rumah sebelum suspek berpindah dari kawasan perumahan kampung itu pada April tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed