by

Lombong Bitcoin curi elektrik RM648,000

News Sources:

ALOR GAJAH: Polis berjaya menghidu kegiatan mencuri bekalan elektrik mencecah RM648,000 oleh sebuah premis yang menjalankan aktiviti melombong mata wang digital, Bitcoin di pekan Pulau Sebang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah bersama-sama penguat kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira pukul 3.30 petang.

Beliau berkata, aktiviti itu dikesan selepas pasukan penguat kuasa mendapati berlaku penyambungan tidak mengikut peraturan Pencawang Padat TNB melibatkan premis tersebut.

“Semasa serbuan dibuat, premis itu dapati tidak mempunyai penjaga dan pasukan polis bertindak memecah masuk ke dalam bangunan dua tingkat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat pemasangan kabel bekalan elektrik secara tidak teratur dan menjumpai 700 unit mesin lombong Bitcoin,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Alor Gajah.

Tambah beliau, seorang lelaki berusia 35 tahun bagaimanapun muncul di lokasi kira-kira 30 minit kemudian sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat dijalankan premis itu dipercayai menjalankan kegiatan melombong Bitcoin sejak dua bulan lalu dan pemeriksaan lanjut akaun bil elektrik premis itu mendapati mereka hanya membayar sebanyak RM10 sebulan.

“Pemeriksaan kadar elektrik di bangunan itu bagaimanapun merekodkan penggunaan semasa arus lebih 3,000 ampere (Amp) iaitu kira-kira RM324,000 sebulan bagi kegunaan mesin Bitcoin tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Shahrul memberitahu, modus operandi digunakan bagi kegiatan itu adalah dengan memilih lokasi terpencil dan bangunan kedai yang tidak mempunyai ramai peniaga bagi mengaburi bunyi bising yang dikeluarkan mesin Bitcoin.

“Kita telah merampas kesemua 700 mesin Bitcoin dan peralatan digunakan bagi kegiatan tersebut. Setakat ini, ia adalah rampasan terbesar membabitkan sindiket Bitcoin bagi wilayah Selatan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan sekiranya aktiviti ini mempunyai rangkaian lain di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, lelaki yang ditahan kini direman selama dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri arus elektrik dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed