by

LSANK diarah adakan rundingan dengan Pulau Pinang

News Sources:

SIK: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor telah mengarahkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk mengadakan proses rundingan dengan agensi kerajaan negeri Pulau Pinang bagi menuntut bayaran air mentah yang diekstrak di negeri itu.

Menurut beliau, selain perutusan surat kepada pihak berkenaan, usaha akan turut dibuat bagi membolehkan mesyuarat di peringkat pegawai serta Exco antara kedua-dua negeri dijalankan.

Malah, beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan mesyuarat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas ini.

“Di pihak Kedah, sudah bertahun kita bersedia untuk perkara ini. Surat pun memang sudah banyak kali kita hantar kepada mereka.

“Insya-Allah pada mesyuarat bersama itu, kita juga minta Kerajaan Persekutuan menjadi pemudah cara. 

“Saya pun ada dengar jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Parlimen yang meminta supaya Pulau Pinang buat bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau di sini hari ini.

Semalam Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini akan menanti dan melihat apa jua jenis tindakan diambil Kedah memandangkan isu tersebut tidak dibuat secara rasmi sebaliknya hanya melalui media.

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang telah menawarkan untuk memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda namun Muhammad Sanusi tidak berminat dan tetap menuntut caj air mentah.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, surat berhubung isu berkenaan telah dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa permohonan lain.

“Selain tadahan air, kita juga tak bangunkan kawasan tanah sawah untuk tujuan komersial. Semua itu kita buat bagi memastikan bekalan beras di negara ini terus mencukupi dan terpelihara,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed