by

Makam sejarah dicemari sampah – Utusan Digital

News Sources:

PASIR SALAK: Kawasan persekitaran makam bersejarah di Air Mati, Bakong, Bota dekat sini dicemari sampah yang didakwa dibuang penduduk berhampiran.

Tinjauan mendapati, pelbagai sampah dibuang di tebing sungai tidak jauh dari makam bersejarah yang terkenal dengan kisah salah faham dua beradik sehingga membawa kepada pergaduhan dan kematian seorang daripada mereka berpunca daripada nama buluh yang dikenali sebagai ‘buluh apa’.

Orang Besar 32 Perak, Tokoh Kohor Alam Tengku Mustaffa Tengku Mohd. Yunus, 61, berkata, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, makam lain di sekitar kawasan itu turut tercemar.

Menurutnya, Makam Sultan Mudzaffar Shah I Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah I turut tercemar kerana terletak tidak jauh dari tempat yang dijadikan tempat membuang sampah itu.

Katanya, tindakan penduduk yang membuang sampah di kawasan berdekatan makam berkenaan amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku.

“Tindakan ini menjejaskan imej kawasan makam tersebut di mata pelancong, penduduk tidak sepatutnya mengambil mudah soal pembuangan sampah sehingga memberi kesan kepada alam sekitar dan sejarah kawasan ini.

“Sikap sebegini memalukan kita jika pelancong luar datang ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tengku Mustaffa berkata, lebih mengecewakan apabila sampah yang dibuang terbiar lama sehingga mengeluarkan bau busuk dan menjadi tempat haiwan liar seperti anjing mencari makan.

Menurutnya, keadaan itu sudah tentu menyedihkan waris yang datang menziarahi makam tersebut.

“Sampah sarap seperti plastik, kertas guni dan sisa makanan yang dibuang di tepi sungai juga mencemarkan air sungai selain mencacatkan pemandangan.

“Saya berharap penduduk di sini tidak lagi membuang sampah di kawasan makam ini atau di sungai, hargailah warisan sejarah berusia beratus tahun ini dan alam sekitar di sini,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed