by

Mangsa banjir di Selangor catat penurunan

News Sources:

KUALA SELANGOR: Keadaan banjir di Selangor membabitkan dua daerah semakin pulih apabila mencatat penurunan kepada 68 berbanding 183 mangsa sebelum ini.

Ini berikutan dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 115 mangsa banjir di Hulu Selangor telah ditutup hari ini.

Bagaimanapun, mangsa banjir di Bestari Jaya masih kekal dengan 55 individu yang masih ditempatkan di  PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Mohd. Izzuddin Ismail berkata, semua mangsa yang ditempatkan di PPS itu dari Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya.

“Jumlah ini meningkat seramai lima orang berbanding 50 individu semalam dan mereka melibatkan 17 keluarga termasuk dua bayi lelaki.

“Bagaimanapun, pemantauan mendapati paras air di kampung ini mula surut dan dijangka ditutup esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, di Hulu Selangor, penutupan PPS di Balai Raya Kampung Baru A, Hulu Bernam dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, Selisik itu dibuat selepas paras air di dua kawasan yang terjejas surut sepenuhnya.

Ketua Bomba Zon Hulu Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, semua mangsa melibatkan 36 keluarga itu sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

“Balai Raya Kampung Baru A ditutup bermula pukul 12 tengah hari manakala Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah pula dua jam berikutnya.

“Bagaimanapun, setakat ini, PPS di Balai Raya Kampung Alah Batu, Gedangsa yang menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga masih dibuka.

“Namun, paras air di kampung terlibat semakin surut dan kita menjangkakan pulih sepenuhnya esok,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed