by

Masih terima tempahan kraf walaupun ketika pendemik Covid-19

News Sources:

KEPALA BATAS: Selepas lebih 30 tahun mengabdikan diri menghasilkan produk kraftangan tradisional khususnya berasaskan kayu, impian Mohd. Sobri Yusof, 60, ketika ini hanyalah mahu melihat industri itu terus subur tanpa ditenggelami arus moden.

Selaku generasi ketiga yang terlibat dengan perusahaan itu selepas arwah datuk serta bapanya iaitu Pak Wan Chik Malata dan Yusof Ibrahim, Mohd. Sobri mengakui bukan mudah untuk mempertahankan seni kraf warisan bangsa itu daripada pupus atau dilupakan begitu sahaja.

Ketika ini, pemilik kedai dan bengkel yang dikenali sebagai Malata Jaya di sini itu boleh dianggap sebagai antara segelintir atau mungkin satu-satunya pengusaha tempatan di negeri ini yang masih aktif menghasilkan pelbagai produk kraf tradisional berasaskan kayu seperti alat kukur kelapa, tempurung cendol, rehal, papan congkak dan bekas membuat putu mayam.

Pada masa sama, dia turut menghasilkan beberapa alatan atau acuan membuat kuih khususnya daripada tembaga, aluminium atau besi mengikut permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah, saya masih menerima tempahan daripada pelanggan terutamanya untuk produk harian seperti kukur kelapa, tempurung cendol, rehal serta bekas membuat putu mayam hingga ke hari ini.

“Malah, alat kukur kelapa yang saya buat pernah sampai hingga ke negara Arab apabila dibeli oleh orang perseorangan yang berminat dengan alatan kraf tradisional untuk memarut kelapa ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Sobri yang dibantu tiga orang pekerja sambilan memberitahu, ketika ini mereka mampu menghasilkan kira-kira 12 alat kukur kelapa sehari bergantung kepada permintaan semasa.

Katanya, bekas membuat putu mayam daripada kayu yang sangat jarang ditemui pula mampu disiapkan antara lima hingga ke enam buah dalam masa sehari dan kesemua produk krafnya dijual pada harga yang sangat berpatutan.

Ujar Mohd. Sobri, walaupun sambutan terhadap produk krafnya agak perlahan ketika musim pandemik Covid-19 ini, dia bersyukur kerana permintaan tersebut masih ada walaupun tidak seperti dulu.

“Sebab itulah saya tak mahu lagi menyimpan impian yang terlalu tinggi (terhadap masa depan produk kraf tradisional berasaskan kayu).

“Cukuplah jika industri ini tidak ‘mati’ begitu sahaja,” katanya yang banyak menurunkan ilmu berkaitan penghasilan produk tersebut kepada salah seorang anak saudara yang dikenali sebagai Dollah. -UTUSAN ONLINE

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed