by

Masih terlalu awal untuk buat keputusan rombak Jakim – Zulkifli

News Sources:

KUALA NERUS: Kerajaan memberi bayangan belum ada keperluan untuk merombak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara besar-besaran susulan isu kartel daging tidak halal.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi jaminan untuk menambah baik kualiti jabatan itu termasuk memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) mengimport daging sejuk beku dan lain-lain perkara yang masih longgar.

“Terlalu awal untuk kami katakan apa-apa berhubung cadangan merombak Jakim, saya lebih suka untuk menambah kualiti dan kebaikan jabatan ini kerana kaedah membina lebih susah daripada membaiki tetapi kadang-kadang ada juga membaiki yang lebih payah daripada membina.

“Saya sudah bertemu banyak kali dengan pihak halal Jakim dan respons mereka cukup baik, InsyaAllah kita sentiasa menyarankan isu integriti, amanah, kejujuran dan kerja secara berpasukan dengan penuh profesional kepada mereka,” katanya.

Katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohammed Hanif Omar yang mahu Jakim dirombak secara besar-besaran dan segera melepaskan tanggungjawab dalam urusan pengendalian pensijilan halal kepada Majlis Halal Malaysia (MHM). 

Hanif berkata, rombakan bersepadu itu sekali gus dapat meredakan keresahan rakyat selain memastikan industri ternakan di negara ini terjaga.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli memberitahu, pihak industri yang terlibat dalam pengimportan dan penyembelihan haiwan di negara ini akan dipanggil pada Januari tahun depan bagi memastikan mereka memahami garis panduan yang ditetapkan terutama mengenai halal.

Terdahulu, beliau turut melawat Galeri Digital Warisan Budaya di Pusat Islam Sultan Mahmud yang merupakan inisiatif UMT dalam memelihara manuskrip Al-Quran warisan kesultanan Terengganu.-UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed