by

Masjid Albukhary buka galeri masjid pertama di Kedah

News Sources:

ALOR SETAR: Masjid Albukhary di sini yang merupakan salah sebuah masjid terindah di negara ini kini memiliki galeri masjid pertama di Kedah yang mempamerkan sejarah dan seni binanya serta agenda dakwah kepada pengunjung.

Galeri Masjid Albukhary yang dibuka secara rasmi hari ini mempunyai tiga sudut utama iaitu seni bina, sejarah dan maklumat masjid tersebut selain replika asalnya yang berusia 20 tahun.

Imam Masjid Albukhary, Mohmad Nasrudin Ismail berkata, kewujudan galeri itu berawal daripada pengisytiharan masjid berkenaan sebagai Masjid Pelancong di Kedah, selain Masjid Zahir yang juga terletak di daerah ini.

“Pengisytiharan tersebut dibuat pada Persidangan Imam-imam Kebangsaan di Terengganu penghujung tahun lepas dan selepas jawatan kuasa masjid memulakan gerakan mencari bahan-bahan untuk dimuatkan dalam galeri.

“Antaranya kami melawat galeri masjid di Shah Alam, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Kami juga mencari maklumat tentang imam-imam awal masjid ini,” katanya pada Majlis Perasmian Galeri Masjid Albukhary di Alor Malai, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Md. Noor Ismail.

Mohmad Nasrudin menambah, galeri tersebut kini dibuka atas permintaan pengunjung sahaja memandangkan situasi Covid-19.

“Apabila situasi Covid-19 semakin baik kita berhasrat membukanya kepada orang awam setiap hari. Kita juga akan menyediakan  pemandu pelancong masjid kelak untuk memudahkan pengunjung mendapat maklumat tentang galeri dan masjid ini,” katanya.

Dalam pada itu, Md. Noor pula berkata, selain pameran, jawatan kuasa masjid boleh mempelbagaikan aktiviti untuk mendapatkan dana.

“Galeri boleh jadi salah satu kaedah berdakwah untuk menerangkan tentang keindahan Islam dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed