by

‘Mat Rock bengang sebab tak boleh headbanging…’ – Hatta Junction

News Sources:

Peminat muzik rock terutamanya di era 80-an pastinya mengenali sosok ini. Pernah mengangkat nama Junction melalui lagu-lagu hits seperti Akan Ku Kenang, Demi Cinta Setia dan Monolog Untuk Rina, keupayaan penyanyi ini mencipta nama di sebalik kebangkitan puluhan kumpulan rock di kala itu tidak perlu disangkal lagi.
Sejak di bangku sekolah lagi, dia sudah aktif bermain muzik. Dipengaruhi elemen Barat seperti The Beatles, Deep Purple dan Bad Company menjadikan irama berat bukanlah sesuatu yang asing bagi dirinya.
Memulakan kerjaya bersama Black City Rockers ketika berhijrah ke Ayer Hitam, Johor, dia mula menyerlahkan bakat dengan mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan serata Johor.
Melalui seorang rakan, dia akhirnya ditawarkan menjalani audition sebagai penyanyi untuk sebuah kumpulan rock Junction yang bertapak di Segamat.
Menyingkap lembaran baharu 2021, Mingguan Malaysia berjaya menjejaki empunya nama Kamarul Hatta Zaharudin, atau lebih dikenali sebagai Hatta Junction, yang kini bermastautin di Temerloh, Pahang bersama keluarganya.
Dia tidak lokek berkongsi kisah suka duka, perit dan jerih taktala bergelar artis suatu ketika dahulu.
“Selepas diterima menganggotai Junction, saya lantas mengundurkan diri dari Black City Rockers. Rancangan kami adalah berhijrah dan meneruskan kerjaya di Kuala Lumpur kerana ketika itu kumpulan Burnmarks yang merupakan ‘band senior’ dari Segamat telah mula mendapat tapak mengadakan persembahan di Kathy’s Lounge, Damansara Jaya.
“Di Kuala Lumpur, kami menjalani audition di Kathy’s Lounge. Waktu itu banyak kumpulan rock terkenal buat show di situ termasuk Lefthanded dan Wings yang sudah menjadi residen artis. Tidak sangka pemilik kelab berminat dengan Junction. Terus dia tak beri kami pulang ke Segamat dan offer buat persembahan di situ. Bayangkan waktu itu kami hanya datang sehelai sepinggang.
“Di situ kami berkenalan dengan Mr. Tan. Selain menjadi pengurus kami di kelab tersebut, dia juga membantu mencari syarikat rakaman untuk menerbitkan album Junction. Akhirnya syarikat rakaman Polygram bersetuju mengambil kami sebagai artis naungannya,” jelasnya panjang lebar.
Album pertama Junction berjudul Arah akhirnya siap dirakamkan di Singapura pada 1988. Apa yang membanggakan tujuh daripada 10 lagu yang dirakam adalah hasil kreativiti Hatta, dan bakinya daripada anggota lain.
Bernaung di bawah label antarabangsa sedikit sebanyak menyukarkan perjalanan Junction kerana dengan bajet agak terhad di samping masa tujuh hari ditetapkan untuk menyiapkan proses rakaman, sedikit sebanyak merencatkan idea dan kreativiti mereka.
Persaingan album rock di pasaran ketika itu agak sengit, namun album Junction berjaya dijual melebihi 80,000 unit. Itu pencapaian yang cukup bagus buat kumpulan junior seperti Junction.
Tidak dinafikan lagu Demi Cinta Setia dan Akan ku Kenang menjadi siulan peminat. Junction juga dipilih oleh satu syarikat jenama rokok terkenal ketika itu untuk sesi jelajah promosi seluruh Malaysia.
“Proses menerbitkan album kedua pada 1989 juga berjalan lancar. Namun yang menjadi masalah ketika itu adalah syarikat rakaman lebih mengutamakan lagu-lagu slow untuk album kami berbanding lagu-lagu fast dan heavy. Bayangkan dalam 10 lagu mereka letak tujuh lagu slow. Yang lain mereka simpan.
“Masalahnya bila buat show. Mat-mat rock ini faham-faham sahajalah. Bila datang konsert mesti nak layan headbanging. Tapi kalau asyik main lagu slow macam mana? Dressing nampak ganas, tapi dari mula sampai ke sudah asyik main lagu meleleh saja,” katanya ketawa.
Berharap panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Jodoh Hatta bersama Junction akhirnya tidak kekal lama gara-gara keretakan hubungan di antara mereka. Isu dalaman menjadi faktor dia angkat kaki dan meninggalkan kumpulan itu.
Sebagai seorang yang berbakat dan versatil, syarikat rakaman menawarkan dia merakamkan album solo serta dilantik menjadi resident composer membantu serta menerbitkan artis-artis ternama seperti kumpulan Alleycats, Odyssey, Dayangku Intan, Leez, Aroma, Tenggara, Teras, Shereen dan ramai lagi.
“Saya tidak nafikan album solo, Reaksi kurang mendapat sambutan. Mungkin kerana saya tidak dapat menandingi ‘zaman’ ketika bersama Junction sebelum ini.
“Seperkara lagi menjadi penyanyi solo juga agak kurang feel kerana sebelum ini kita beraksi bersama satu kumpulan. Walaupun ada sessionist yang mengiring, tetapi tetap ‘tidak sampai’ kerana mereka sekadar mengikut apa yang kita mahukan,” tambahnya.

Pahit manis bergelar artis

Menurut Hatta, sejak bergelar artis pelbagai kenangan manis dan pahit sudah ditempuhinya. Antara yang tidak mungkin dilupakan adalah jasa baik arwah wartawan Abdul Jalil Salleh atau Mama Juwie yang banyak membantu memberikan sokongan melalui penulisan dan artikel di akhbar dan majalah untuk Junction.
“Saya tetap ingat jasa arwah. Tanpa pertolongannya tidak mungkin Junction mampu dikenali hingga ke tahap ini. Arwah juga ada menyumbang lirik lagu berjudul Kisah Cinta Antara Kita yang merupakan antara lagu diminati peminat.
“Pengalaman lain adalah ketika kami pulang dari konsert di pantai Timur. Ketika itu van yang dinaiki ditahan sekumpulan penduduk kampung. Kami cuak kerana tidak tahu apa salah yang sudah kami buat, maklumlah tempat orang. Rupa-rupanya mereka tahan sebab nak ambil gambar dan minta tanda tangan sahaja,” katanya.
Mengenai kenangan pahit pula, kata Hatta, pastinya mengenai pengurus dan promoter yang yang sentiasa menangguk di air keruh dan memanipulasi setiap bayaran yang mereka terima.
“Waktu itu kami terlalu muda dan mentah untuk memahami setiap perjanjian dan kontrak. Ada ketikanya bayaran yang kami terima langsung tak setimpal dan masuk akal. Rupa-rupanya separuh dah masuk poket orang tengah,” ujarnya.
Melihat kerjaya sebagai penyanyi tidak menjamin masa depannya ketika itu, Hatta lantas pulang ke Temerloh dan bekerja di salah sebuah hotel di sana.
Ketika itulah dia berkenalan dengan gadis bernama Azslender, yang seterusnya membawa mereka ke jenjang pelamin.
“Kisah percintaan saya ini menarik juga sebab bercinta dengan orang yang tidak pernah saya kenali dan jumpa. Dia juga tidak tahu yang saya ini pernah jadi seorang artis. Kami bekerja di syarikat hotel yang sama, namun berlainan cawangan. Saya di Temerloh, dia di Kuala Rompin.
“Zaman itu tiada telefon untuk berhubung, jadi kami gunakan mesin faks, so tulis ala-ala surat cinta dan kemudian faks, lepas tu tunggu pula dia faks dari sana. Jadi, lama juga kami berhubung cara ini.
“Lagipun dapat balasan on the spot berbanding kirim surat yang seminggu pun belum tentu sampai lagi. Begitulah kerja kami setiap malam sehinggalah saya kantoi dengan pengurus,” katanya ketawa mengakhiri perbualan. – Pancaindera

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed