by

MBPG pantau 72 kilang beroperasi tanpa lesen

News Sources:

PASIR GUDANG: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah menjalankan pemantauan terhadap 72 buah kilang yang dikesan beroperasi tanpa lesen di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas kejadian pencemaran Sungai Kim Kim, dua tahun lalu.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abd. Rahman berkata, 20 daripada kilang berkenaan diberi notis tutup manakala 15 lagi dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut beliau, baki kilang-kilang berkenaan pula telah atau sedang dalam proses mendapatkan lesen untuk beroperasi.

“Dalam tempoh dua bulan ini, kita telah menjalankan pemeriksaan secara berkala dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), di mana lebih daripada 20 buah kilang telah diperiksa secara mengejut.

“Selain rondaan dan pemantauan, kita turut mengambil sampel air secara bulanan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan pembuangan sisa.

“Sekiranya kita mengesan terdapatnya sisa pencemaran, kita akan mengambil tindakan segera dengan memeriksa kilang-kilang di kawasan berkenaan,” katanya ketika menghadiri program Datuk Bandar MBPG Bersama Komuniti Kampung Perigi Acheh di sini hari ini.

Antara kilang yang dikesan beroperasi tanpa lesen itu membabitkan pelbagai jenis operasi termasuk pembuatan, kitar semula dan bengkel.

Tambah Asman Shah, sehubungan itu pihaknya turut menyeru kerjasama daripada penduduk setempat untuk melaporkan sebarang perlakuan yang dilihat berkait dengan aktiviti jenayah termasuk pembuangan sisa.

“Kita menyeru komuniti untuk memberi input seperti mengambil gambar atau video kejadian supaya kita dapat ambil tindakan tegas bagi mengelakkan kejadian pencemaran akibat pembuangan sisa terus berlaku.

“Selain itu, komuniti tempatan juga ditegah untuk melakukan pembuangan sampah secara terbuka kerana ada antara sisa buangan yang kita kesan adalah daripada kalangan komuniti setempat,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, MBPG bercadang untuk menambah baik pelbagai kemudahan asas di 35 buah perkampungan sepanjang tahun ini.

Menurut Asman Shah, inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Kampung Lestari yang merupakan salah satu daripada khidmat tanggungjawab sosial MBPG selain ia salah satu daripada program yang disusun dalam manifesto 100 hari sempena penaiktarafan PBT itu.

“Menerusi program Kampung Lestari, kita akan menaik taraf 35 buah kampung induk dan kampung rangkaian termasuk kampung tradisi yang terletak di kawasan pinggir Pasir Gudang dengan Kampung Perigi Acheh dan Kampung Cahaya Baru menjadi lokasi permulaan.

“Antara inisiatif yang akan dilakukan adalah pembaikan jalan raya, penyediaan kemudahan asas dan pemasangan lampu jalan solar. Bagi pemasangan lampu jalan solar ini bukan sahaja akan menambah pencahayaan di kawasan kampung terlibat, tetapi akan turut menjimatkan kos pemasangan serta kos penyelenggaraan.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed