by

Melaka sudah ‘hidup’ – Utusan Digital

News Sources:

MELAKA: “Kami dah lama tunggu nak mai (datang) jalan-jalan di Melaka selepas berbulan-bulan terperap (terkurung) sahaja dalam rumah sejak Covid-19 melanda negara kita”.

Demikian keterujaan dikongsi Farah Wahida Khamis, 27, dari Kulim, Kedah yang antara ribuan pelancong yang mengambil peluang berkunjung ke bandar raya Melaka pada cuti hujung minggu.

Ketika ditemui Mingguan Malaysia, Farah Wahida bersama-sama 15 ahli keluarga yang lain membuat keputusan untuk ke negeri ini selepas bercuti di Kuala Lumpur sejak kelmarin.

“Sudah lama tak datang ke Melaka lebih-lebih lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, memang rasa lega sangat dapat keluar berjalan-jalan bersama keluarga.

“Perasaan seronok tak dapat nak digambarkan apatah lagi apabila tengok orang ramai di sana-sini tetapi pada masa sama kami masih berjaga-jaga,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan mendapati pusat pelancongan sekitar Banda Hilir, di sini kembali menjadi tumpuan pelancong selepas kerajaan memberi kebenaran rentas negeri sejak 7 Disember lalu.

Antara lokasi yang dipenuhi orang ramai termasuklah Jonker Walk, Bangunan Stadthuys, persekitaran Menara Taming Sari, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan Pahlawan Walk.

Sementara itu, Amir Syafiq Suhaimi, 23, dari Kapar, Selangor berkata, cuti hujung minggu pertama selepas dibenarkan merentas negeri dimanfaatkan bersama keluarga untuk bercuti di negeri ini.

“Melaka destinasi paling dekat untuk bercuti, jadi saya bersama ibu bapa dan adik-adik terus datang ke sini pada hujung minggu untuk bercuti selama sehari.

“Alhamdulillah nampak meriah juga kedai-kedai di sini, jalan raya pun sesak sehinggakan hendak dapat meletak kereta pun kena berkali-kali pusing,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Kedah, Mohd. Shukri Mansor, 56, berkata, meskipun dibenarkan merentas negeri mereka tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Walaupun secara tidak langsung kita dapat menjana ekonomi dan membantu para peniaga yang terjejas menghidupkan kembali perniagaan masing-masing tetapi kami tak lupa kepada SOP kerana wabak ini masih berlegar di persekitaran mereka,” katanya.

Justeru, Mohd. Shukri mengharapkan orang ramai terus berhati-hati terutamanya ketika berada di lokasi yang dipenuhi orang ramai agar tidak berlaku penularan kes Covid-19.-UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed