by

Mohd. Noordin miliki 5,000 barangan antik

News Sources:

ALOR GAJAH: Seorang warga emas menyimpan kira-kira 5,000 barangan antik yang dikumpulnya sejak 16 tahun lalu sebagai barang perhiasan rumahnya di Kampung Brisu, di sini.

MOHD. NOORDIN MOHD. NOOR

Mohd. Noordin Mohd. Noor, 61, yang merupakan seorang pekerja kilang memberitahu, dia kini mempunyai pelbagai koleksi antaranya pinggan, lesung batu, televisyen, motosikal dan kereta berusia lebih 60 tahun.

Katanya, barangan antiknya itu mendapat perhatian ramai, malah ada yang ke rumahnya dengan hasrat ingin membeli pada harga tinggi.

“Pada awalnya saya mengumpul barang antik ini sekadar suka-suka ketika masih bekerja di sebuah kilang di Shah Alam pada 2004.

“Lama-kelamaan barang-barang ini menjadi banyak dan setiapnya mempunyai nilai sentimental serta nostalgia tersendiri. Daripada sekecil duit syiling, pinggan mangkuk, batu giling sehinggalah ke kenderaan lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya.

Menurut Mohd. Noordin, koleksi tersebut bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau tujuan komersial, sebaliknya hanya sebagai perhiasan rumah.

“Sebahagian barang-barang antik ini saya beli sendiri apabila melancong di dalam dan luar negara, namun ada juga yang diberikan orang ramai.

“Saya masih mencari beberapa barangan lain seperti mesin getah, kuwi atau tempat simpanan padi, indik atau lesung kaki dan tempat membanting padi,” ujarnya.

Miinat mendalamnya itu turut difahami isterinya, Fauziah Harun, 60.

“Setiap kali kami berjalan, kalau ternampak barang antik, suami terus membelinya. Namun, saya tidak marah kerana tahu itu memang minatnya dan tidak mahu dia menyesal di kemudian hari apabila barang itu telah dibeli orang lain,” katanya.

Difahamkan, kerajaan negeri turut merancang untuk menjadikan rumah Mohd. Noordin yang dinamakan sebagai Teratak Seri Solok sebagai Rumah Pelancongan Melaka.

Beberapa pihak termasuk Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sudah berkunjung ke rumah berkenaan baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed