by

Muafakat Nasional bukan retorik semata-mata – Ismail Sabri

News Sources:

KUALA LUMPUR: Pemeteraian Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas sejak 2019 bukan satu bentuk retorik untuk membujuk mana-mana pihak. 

Sebaliknya, gagasan kerjasama berkenaan akan sentiasa berterusan bagi memastikan parti politik Melayu Islam terus kukuh tidak kira di peringkat akar umbi sehingga peringkat tertinggi parti. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, hubungan antara UMNO dan Pas masih baik meskipun parti diterajui Abdul Hadi Awang itu dilihat cenderung untuk bekerjasama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Sekalipun Pas menubuhkan jawatankuasa baharu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui PN, ia tidak sesekali menarik perhatian UMNO kerana tetap berpegang dengan prinsip memperkasakan kerjasama dengan Pas. 

“Kita masih lagi bersama Pas. Tapi kalau ada apa-apa perkembangan kita akan bincanglah. Biasanya setiap dua minggu sekali kita (UMNO dan Pas) akan mengadakan mesyuarat dan mungkin selepas ini kita akan berbincang lagi. 

“Nak kata MN retorik, hubungan kedua-dua parti masih seperti biasa. Hubungan akar umbi dan pimpinan tertinggi pun masih lagi macam dulu jadi tiada isu. Bulan Ramadan ini banyak program bersama yang akan kita laksanakan. 

“Wanita Pas dengan muslimah, mungkin juga program-program keagamaan, tadarus al-Quran, program itu telah ditetapkan dan saya percaya ia akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya keputusan Bersatu dan Pas menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan peringkat pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti menghadapi PRU-15 sekali gus menimbulkan persoalan terhadap status sebenar MN di mata UMNO dan Pas. 

PAU 2020 pada Ahad lalu meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 dan penyertaan UMNO dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid memberi amaran pemimpin UMNO tidak menggertak Bersatu berhubung hasrat menarik sokongan daripada PN sebaliknya mencabar berbuat demikian tanpa syarat atau ugutan. 

Dalam pada itu, menjawab kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa menteri UMNO tidak berani meletakkan jawatan sebagai pengecut, kata Ismail Sabri, itu terpulang kepada individu. 

Selain itu, tegasnya, tiada keputusan semasa PAU 2020 yang mengarahkan menteri, timbalan menteri, menteri besar, exco dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari UMNO untuk meletakkan jawatan ekoran keputusan yang dicapai semasa PAU 2020 baru-baru ini. 

“Dalam UMNO sesiapa sahaja boleh bercakap. Kita terbuka dan menghormati pandangan setiap individu dalam parti. Siapa mahu bercakap, cakaplah. Tiada sekatan pun. Usul itu jelas iaitu terus menyokong kerajaan sehingga PRU-15 dan apabila Parlimen bubar kita tidak bekerjasama lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed