by

Najib minta jangan heboh sumbangan Arab

News Sources:

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta agar Majlis Jemaah Menteri agar tidak menghebahkan mengenai sumbangan yang diterima daripada Raja Muda Arab Saudi, Putera Sultan bin Abdul Aziz Al-Saud.

Tanpa menyatakan jumlahnya, Najib turut memberitahu jemaah menteri pada mesyuarat bertarikh 8 September 2010 bahawa sumbangan pertama daripada Putera Arab itu juga telah diperolehi.

Sumbangan tersebut diberikan kepada Yayasan 1Malaysia Development Berhad bagi projek dan program yang berasaskan tanggung jawab sosial korporat (CSR).

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Tan Sri Mazidah Abdul Majid ketika membaca pernyataan saksi beliau selaku saksi pendakwaan ke-11 pada perbicaraan kes Najib, 68, yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

“Yang Amat Berhormat (Najib) seterusnya memaklumkan dan memberi pandangan bahawa Kerajaan perlu lebih kreatif dalam mencari sumber-sumber Kerajaan dan peruntukan di luar rangkaian hasil Kerajaan yang sedia ada kerana ia memberi lebih fleksibiliti kepada Kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.

Tambahnya, Jemaah Menteri kemudian bersetuju untuk memberikan cadangan projek dan program CSR untuk dilaksanakan pada Oktober 2010 dan untuk tidak mengumumkan sumbangan oleh kerajaan Arab itu.

Minit mesyuarat itu kemudian telah disahkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri iaitu Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Mazidah, 72, dipanggil memberi keterangan hari ini selepas saksi pendakwaan ke-10 yang juga bekas Ketua Pegawai eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abd. Rahman tidak dapat hadir pada prosiding hari ini untuk meneruskan sesi soal balas kerana demam.

Pada prosiding di sebelah pagi, Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas dimaklumkan mengenai kesihatan saksi tersebut, mengarahkan pihak pendakwaan untuk meminta Mohd. Hazem melakukan ujian calitan Covid-19.

Pada perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan kesembilan, bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, sekitar September 2010, ahli perniagaan dalam buruan, Law Taek Jho atau Jho Low telah memberikannya empat keping cek berjumlah AS$100 juta.

Cek-cek tersebut dikatakan sumbangan keluar diraja Arab kepada Tabung Amanah Yayasan 1MDB namun beliau diarahkan agar tidak berbuat apa-apa dengan cek-cek tersebut.

Shahrol Azral memberitahu beliau telah menyerahkan cek-cek tersebut kepada bahagian kewangan 1MDB selepas dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Selepas selesai membaca pernyataan saksinya, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar saksi itu mambawa Kod Etika Anggota Pentadbiran dan anggota Parlimen sebelum memulakan soal balas terhadap saksi itu.

Sebelum mahkamah berhenti bersidang, Hakim Sequerah meminta pihak pendakwaan untuk menyediakan saksi lain sekiranya Mohd. Hazem tidak dapat hadir untuk menyambung keterangannya esok.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed