by

Nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

News Sources:

LUMUT – Sebuah bot nelayan Indonesia bersama empat kru yang menceroboh perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Perak kira-kira 16 batu nautika di Pulau Jarak semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Shahrizan Raman berkata, bot tersebut dikesan KM TUGAU ketika melakukan rondaan Ops Benteng pada jam 5.30 petang.

Kesemua suspek ditahan ketika melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan perairan negara.

“Ketika ditahan, empat kru termasuk tekongnya itu sedang melakukan aktiviti perikanan dalam perairan negara. Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shahrizan, kesemua nelayan asing itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 6(1)(a) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Perikanan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM6 juta dan kru pula didenda RM500 ribu setiap orang dengan penjara 6 bulan sehingga 1 tahun. Manakala, Akta Imigresen 1959/63 tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan, Maritim Perak akan meningkatkan kawalan sempadan maritim negara menerusi Ops Benteng.

Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kegiatan haram di perairan negara kepada Pusat Operasi Maritim Perak menerusi talian 05 683 8737 atau NTF 011 6251 1123. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed