by

Nilai dagangan agrikomoditi RM169.2 bilion

News Sources:

PUTRAJAYA: Prestasi perdagangan sektor agrikomoditi mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM169.2 bilion dalam tempoh Januari hingga November tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, nilai itu meningkat sebanyak 10.6 peratus berbanding RM153 bilion sebagaimana direkodkan pada tahun 2019.

Menurut beliau, pendapatan eksport produk agrikomoditi pula sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara dalam tempoh sama.

Katanya, ia menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini disebabkan kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak sawit mentah (MSM) serta peningkatan ketara pada permintaan produk-produk berasaskan getah.

“Produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Khairuddin berkata, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 10.7 peratus kepada 23.9 juta tan.

Beliau menjelaskan, pandemik Covid-19 memberikan kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

Katanya, melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan komoditi itu.

“Pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu yang diumumkan kerajaan pada 5 Jun tahun lalu, mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk-produknya.

“Selain itu, kesan pengurangan duti import sebanyak 5 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) mulai 1 Januari tahun lalu merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed