by

Noh bangkit tiga isu pesawah kepada kerajaan

News Sources:

TANJONG KARANG: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri, Tan Sri Noh Omar membangkitkan beberapa isu termasuk penjualan dan harga padi kepada kerajaan.

Noh yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa itu bermula 12 Januari lalu berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam lawatan selama beberapa jam di kawasan pertanian Tanjong Karang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pihaknya membangkitkan tiga isu yang membelenggu pesawah iaitu padi di Selangor tidak boleh dijual keluar dari negeri ini, pembelian benih padi dan potongan jualan padi.

Beliau mempersoalkan mengapa padi di Selangor tidak boleh dijual keluar tetapi pada masa sama beras dari luar dibenarkan masuk dan tiada sekatan langsung berhubung perkara itu.

“Dahulu tiada dasar berhubung perkara ini dan sekiranya alasan takut bekalan beras berkurangan, perkara ini tidak munasabah.

“Padi di Selangor adalah antara yang terbaik dan boleh memberi hasil dan pulangan beras 60 peratus iaitu satu tan metrik boleh menghasilkan beras kira-kira 600 kilogram. Nilai padi di Selangor cukup baik, namun tindakan tidak membolehkannya dijual di luar mengakibatkan wujudnya kartel,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Tengku Zafrul ke Pusat Pukal Padi dan Semaian Swasta di Kg. Parit 4, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noh berkata, isu lain yang dibangkitkan ialah pembelian benih padi terus daripada kilang berbanding melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Katanya, pihaknya tiada halangan berhubung pembelian benih padi daripada Nafas, tetapi pelaksanaannya dilihat membebankan pesawah.

“Sekiranya mereka membeli benih padi terus dari kilang, harga satu beg ialah RM28 tetapi melalui Nafas bernilai RM35.

“Perbezaan harga amat ketara dan kita mohon pelaksanaan ini dilihat semula supaya tidak memberi kesan kepada pesawah,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga membawa isu potongan jualan padi yang agak tinggi iaitu sehingga 50 peratus.

“Kita mencadangkan pegawai kawal selia Kementerian Pertanian berada terus di pusat pembelian padi untuk membuat penilaian dan pemutuan beras padi.

“Malah, satu penetapan juga dibuat sebagai contoh sekiranya petani boleh menghasilkan lapan tan padi, potongan jualan ditetapkan sebanyak 20 peratus dan jika berkurangan pula dinaikkan peratusan pemotongan,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed