by

Nur Aimi masih belum sedarkan diri

News Sources:

IPOH: Ibu kepada tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kelmarin, dijangka menjalani pembedahan berikutan kecederaan dalaman yang dialaminya.

Difahamkan, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk patah tulang rusuk dan pendarahan serius di bahagian hati.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, pembedahan ke atas Nur Aimi Nadiah hanya dilakukan selepas keadaannya dipastikan benar-benar stabil.

Katanya, mangsa yang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) masih tidak sedarkan diri dan diberi bantuan alat pernafasan.

“Mangsa mengalami pendarahan dalaman terutama di bahagian hati dan keadaannya kini dipantau rapi pasukan perubatan.

“Buat masa sekarang, mangsa ditidurkan sementara menunggu keadaannya stabil sepenuhnya sebelum pembedahan dapat dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 2.45 petang berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang kelmarin, tiga anak lelaki Nur Aimi Nadiah iaitu Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

Nahas menimpa empat beranak itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang berada di lorong kecemasan.

Mayat tiga kanak-kanak itu menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik HRPB sebelum jenazah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka semalam. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed