by

OPEC: 1H 2021 penuh risiko

News Sources:

MOSCOW/LONDON: Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) melihat separuh pertama (1H) tahun ini akan dipenuhi risiko ke bawah untuk pasaran minyak.

Kenyataan itu dibuat Setiausaha Agungnya, Mohammad Barkindo kelmarin, sehari sebelum pertubuhan itu bermesyuarat dengan sekutunya (OPEC+) untuk membincangkan tahap pengeluaran untuk Februari.

“Di sebalik beberapa petanda baik, unjuran untuk separuh pertama 2021 sangat bercampur-baur dan masih ada banyak risiko yang perlu ditangani,” kata Mohammad.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat bersama pakar-pakar OPEC dan sekutunya, menurut kenyataan yang dikeluarkan OPEC.

Disember lalu, OPEC+ memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 0.5 juta tong sehari untuk Januari sebagai sebahagian daripada peningkatan beransur dua juta tong sehari tahun ini, namun keperluan langkah itu dipersoal beberapa ahli melihat kepada penyebaran jangkitan Covid-19.

“Dengan asas yang lemah, lebih cermat untuk OPEC+ mengekalkan pengeluaran pada tahap mantap dan ada kecenderungan dalam kalangan beberapa pengeluar terbesar untuk mengekalkan pengeluaran pada tahap datar,” kata pengasas bersama kumpulan pemikir Energy Aspects, Amrita Sen.

Arab Saudi yang memimpin OPEC mencadangkan pendekatan lebih berhati-hati dalam mesyuarat terdahulu manakala ahli OPEC, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan sekutu OPEC, Russia berkata, mereka lebih berminat dengan peningkatan pengeluaran yang lebih cepat.

“Pemulihan aktiviti sosial dan ekonomi masih berjalan di beberapa buah negara dan terdapat kebimbangan tentang kemunculan strain baharu virus Covid-19,” kata Mohammad.

Kata beliau, ekonomi global mampu melonjak kembali pada separuh kedua 2021 tetapi sektor seperti pelancongan, riadah dan hospitaliti mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai tahap sebelum pandemik.

OPEC+ terpaksa mengurangkan pengeluarannya pada jumlah tertinggi dalam sejarah pada 2020 akibat sekatan pergerakan sedunia yang menyebabkan permintaan bahan api berkurang.

Pertubuhan itu memotong pengeluaran sebanyak 9.7 tong sehari, kemudian mengurangkan pemotongan kepada 7.7 juta tong sehari sebelum akhirnya mengurangkannya kepada 7.2 juta tong sehari.

Mohammad berkata, OPEC menjangkakan permintaan minyak diterajui negara membangun dan akan meningkat kepada 95.9 juta tong sehari pada 2021 atau peningkatan 5.9 juta tong sehari berbanding 2020, memandangkan ekonomi dunia diunjur bertumbuh 4.4 peratus. –AGENSI





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed