by

Operator kilang, kekasih didakwa cuba bunuh anggota polis

News Sources:

BUTTERWORTH: Seorang operator kilang dan teman wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis Khamis lalu.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Mohd. Ansari, 30, yang berstatus suami orang dan Nurul Fatin Azira Saiful Hadi,18, didakwa secara bersama cuba membunuh Sarjan Mejar Abdul Wahab Noor di Jalan Soon Ban Kheng di sini kira-kira pukul 11.40 malam, 31 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Hakim Norhayati Mohamad Yunus membenarkan pasangan terbabit diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Selain itu, beliau turut menetapkan syarat tambahan dengan mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap 15 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai dibicarakan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya Darrsini dan Muhammad Syafiq diwakili peguam, Mohd. Izad Buqhary Mohd. Kamri manakala Nurul Fatin Azira tidak diwakili peguam.

Norhayati kemudiannya menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, Muhammad Syafiq berdepan lagi dua pertuduhan di Mahkamah Bukit Mertajam hari ini atas dakwaan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam iaitu pasukan polis semasa mereka menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia didakwa bersama mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana tidak mematuhi isyarat pegawai polis dalam sekatan jalan raya yang dilakukan.

Bagi kesalahan itu, Muhamad Syafiq boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed