by

Orang ramai digalakkan sertai latihan keselamatan

News Sources:

PASIR SALAK: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggalakkan orang ramai menyertai latihan keselamatan sebagai persediaan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan di kawasan masing-masing.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata, inisiatif itu selari dengan agenda kementerian serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mahu memperkasa peranan komuniti dalam operasi kebombaan.

“Dalam pemerkasaan komuniti, kita ada banyak program yang melibatkan masyarakat, tetapi kita perlu struktur semula supaya lebih sistematik.

“Satu daripadanya kita sasarkan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) yang kini ada 8,000 di seluruh negara, nelayan dan penduduk di perkampungan yang kita percaya mampu menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampong Gajah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurut beliau, kementerian juga bekerjasama dengan JBPM bagi memberi latihan menyelamat di air kepada komuniti setempat sebagai usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan awam terutama yang mempunyai kemudahan tasik atau lombong.

“Kita juga mahu bekerjasama dengan penduduk setempat yang terlatih dalam aspek keselamatan untuk melakukan kawalan dan rondaan di kawasan-kawasan yang jadi tumpuan awam.

“Kawasan ini banyak dan kita akan beri tumpuan di lokasi bergantung kepada statistik yang disediakan polis,” katanya.

Zainal Abidin memberitahu, dua lagi balai bomba sedang dibina di Perak iaitu di Tambun dan Trong yang pembinaannya dijangka siap Oktober ini dan tahun depan.

Katanya, pembinaan balai baharu itu akan menyediakan perkhidmatan segera kepada penduduk setempat sekali gus menepati indeks prestasi utama (KPI) dan piawaian ditetapkan iaitu masa respons di bawah 10 minit selepas panggilan kecemasan.

“Contohnya seperti di sini (BBP Kampung Gajah), balai bomba terdekat adalah BBP Teluk Intan yang jaraknya 40 kilometer dari sini. Jadi dengan adanya balai ini, kita dapat pastikan perkhidmatan dapat disampaikan mengikut KPI,” katanya.

Beliau berkata, lima buah balai bomba baharu telah diluluskan pembinaannya tahun ini termasuk sebuah balai bomba di Genting Highlands.

BBP Kampong Gajah merupakan balai ke-33 beroperasi di negeri ini yang dibina di atas sebidang tanah seluas 3.29 hektar pada 12 Februari 2019 dengan kos berjumlah RM2.91 juta.

Balai bomba kategori D itu yang siap dibina sepenuhnya pada 7 Oktober tahun lalu merangkumi pembinaan bangunan balai bomba, ruang jentera, surau, stor logistik dan rumah pam.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed