by

Pandemik tutup rezeki Roy Kapilla

News Sources:

PASIR PUTEH: Penutupan sempadan negara ini dengan Thailand susulan ancaman pandemik Covid-19 turut menutup pintu rezeki penyanyi tempatan, Roy Kapilla yang popular dengan lagu Dikir Rambong. 

Roy Kapilla atau nama sebenarnya, Saufi Abdullah berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, restoran tomyam yang diusahakannya di Pangkalan Chepa, Kota Bharu lumpuh dan terpaksa ditutup, gara-gara tiada tukang masak.

Menurut Roy Kapilla, tukang masaknya yang berasal dari selatan Thailand pada asalnya pulang bercuti di kampung, namun mereka semua gagal kembali ke negeri ini kerana sempadan negara telah ditutup ketika PKP.

“Kini sudah hampir sembilan bulan restoran tidak beroperasi. Saya terpaksa menanggung kos sewaan tanpa menerima sebarang pendapatan daripada perniagaan. 

“Kesan pandemik itu turut menyebabkan saya tidak dapat memenuhi jemputan untuk membuat persembahan di Thailand,” katanya ketika ditemui di Kedai Makan Santai Renggo Arrow di Kampung Sungai Petai di sini hari ini. 

Tambah Roy Kapilla, dalam mengharungi detik suram ini, artis perlu kreatif mencari alternatif lain sebagai sumber pendapatan dan tidak boleh mengharapkan kerjaya seni semata-mata.

“Saya bangga dengan kejayaan Renggo yang kini mahir menebar roti canai dan memasak sendiri kuah kari, kacang dhal dan sambal bilis sehingga menjadi tarikan pelanggan.

“Jauh dari ibu kota dia datang, kini menjadi ‘orang kampung’ yang pandai menebar roti canai yang sedap,” katanya.

Meskipun tidak muncul dalam media arus perdana, Roy Kapilla dikatakan aktif menghiburkan peminatnya di selatan Thailand dan sering berulang alik ke sana bagi memenuhi jemputan membuat persembahan.

Dia kini bernaung di bawah MVM Production bakal menghasilkan muzik video untuk dua single terbaharu kolaborasi bersama Beby Acha berjudul Guana Demo dan Dikir Menghibur Hati. 

Roy Kapilla dan Renggo juga dijadual membuat persembahan amal bersama penyanyi popular seperti Datuk M. Nasir dan Datuk Nash bagi memungut dana untuk membantu Bob Lokman di PCB Resort, 21 Januari depan.  -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed