by

Parkir di Persiaran Karpal Singh sudah diswastakan? 

News Sources:

GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menswastakan sistem pembayaran letak kereta di Persiaran Karpal Singh di sini setelah melaksanakan Sistem Letak Kereta Secara Pintar (PSP) bermula 1 Januari lalu. 

Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, terdapat 58 lot parking di Persiaran Karpal Singh yang dikendalikan oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI) telah diswastakan kepada sebuah syarikat yang kemudiannya menggunakan sistem pembayaran secara manual, bukannya mengguna pakai PSP. 

“Kerajaan negeri melaksanakan PSP pada 1 Januari tahun ini dan beberapa ejen yang pada awalnya diberi kuasa menjual kupon letak kereta kehilangan pendapatan susulan pelaksanaan sistem baharu itu. 

“Kini, kerajaan negeri membenarkan pula syarikat swasta menerima keuntungan dengan menswastakan kawasan parkir di Persiaran Karpal Singh, apa yang sebenarnya kerajaan negeri sedang lakukan kepada rakyat?” katanya dalam sidang akhbar di Persiaran Karpal Singh di sini hari ini. 

Pada Ogos tahun lalu, kerajaan negeri melancarkan PSP bagi memudahkan pembayaran tempat letak kereta di negeri ini. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan sistem berkenaan adalah fasa perintis di mana sebanyak 36,000 petak tempat letak kereta (TLK) disediakan di seluruh negeri itu. 

Menurut Tong Keong, tanah di Persiaran Karpal Singh itu dimiliki kerajaan maka sistem pembayaran letak kereta itu seharusnya dikendalikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), bukannya pihak swasta. 

Dalam pada itu, katanya, Persiaran Karpal Singh itu merupakan kawasan perumahan yang pesat dan penduduk di situ menghadapi masalah kekurangan tempat letak kereta. 

“Dengan menswastakan beberapa tempat letak kereta di situ, kadar bayaran tempat letak kereta itu bukan sahaja meningkat, malah dikenakan bayaran sepanjang hari iaitu 24 jam. 

“Kami berharap kerajaan negeri  dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera dan menjelaskan isu tersebut kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed