by

Pas tidak campur perebutan kerusi UMNO-Bersatu

News Sources:

LARUT: Pas tidak akan campur tangan dalam kemelut perebutan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di antara UMNO dan Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Pas Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, Pas menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pusat untuk menentukan pengagihan kerusi untuk PRU-15 dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Pas berpendirian mahu menjadi pendamai di antara UMNO dan Bersatu dan mahu mempertahankan keharmonian serta perpaduan dalam PN.

“Dalam masa sama, Pas mahu menguatkan Muafakat Nasional (MN) kerana kekuatan perpaduan sebegini boleh menyelamatkan negara ini daripada diperintah semula oleh pihak yang sentiasa mengintai ruang untuk memasukinya.

“Kalau PN dan MN hancur berderai, maka ia akan membuka ruang peluang untuk PH (Pakatan Harapan) kembali berkuasa.

“Pas ingin berkawan dengan kedua-duanya (UMNO dan Bersatu) agar membentuk perpaduan yang kuat. Sekiranya hilang salah satu, maka ia akan menjadi lemah bagai seekor singa tanpa taring,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan dan Program Back To School di Selama di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Akmal berkata, mungkin sesetengah pihak hanya melihat suara akar umbi parti tanpa melihat kehendak pengundi atas pagar dalam menentukan kerjasama dalam PN.

Menurutnya, namun harus diingatkan pengundi yang tidak menjadi mana-mana ahli parti politik adalah penentu kepada mandat dalam setiap pilihan raya.

“Jumlah pengundi atas pagar lebih ramai berbanding yang menjadi ahli parti politik dan mereka adalah penentu kemenangan,” katanya.

Menurutnya, rakyat mahukan perpaduan, keharmonian, pembelaan serta menjaga kebajikan mereka dan bukannya perpecahan akibat politik yang sedang berlaku sekarang. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed