by

Pas tolak muafakat berpecah, ajak bersama PN

News Sources:

PETALING JAYA: Tanpa berselindung, Pas menegaskan menolak sebarang muafakat berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan parti itu bersama UMNO dan mengajak semua untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, pihaknya menolak sebarang muafakat tanpa bersatu dan kumpulan yang menunjukkan ketidaksetiaan kepada negara di samping budaya melampau hingga mencabar agama dan bangsa.

Katanya, MN pada mulanya diwujudkan bagi membela umat dalam satu negara dengan pembabitan semua golongan di atas Perlembagaan Persekutuan merdeka dan berdaulat.

“Pas juga menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat pada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.

“Kita juga menolak sebarang agenda bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.

“Pas mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, PN bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti. Selain itu bersama golongan bukan Islam tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara tanpa menghabiskan masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain UMNO, Pas merupakan sebahagian kerjasama MN dan parti itu kemudian menyertai PN sebagai parti gabungan bersama Bersatu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengajak semua pihak untuk bersama tawaran baharu itu di atas landasan berintegriti dan berkebajikan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa.

“Marilah sama-sama menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa,” katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, perjuangan Pas bukanlah sekadar berhasrat untuk menyelamatkan seseorang atau kumpulan dan kelompok yang kecil sahaja, malah tujuannya untuk menyelamatkan seluruh manusia dengan seberapa ramai yang mungkin.

Di samping itu, beliau menegaskan Pas akan terus mengajak masyarakat Melayu-Islam untuk terus bersama Islam manakala mereka yang terpesong diajak kembali semula manakala atau kaum lain yang menerima Islam pula layak untuk memimpin.

“Islam adalah agama yang wasatiyyah (sederhana), maka Pas menolak golongan ekstrem yang mengaku Islam termasuklah di dalam kalangan bukan Islam. Kita juga menolak golongan liberal yang kehilangan dasar Islam, bahkan ada yang kehilangan sifat kemanusiaannya,” katanya.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed