by

PBT kena lebih tegas terhadap pusat hiburan

News Sources:

MELAKA: Perlu lebih tegas mengambil tindakan terhadap pengusaha kelab malam dan pusat hiburan yang tetap berdegil menjalankan operasi ketika kerajaan masih melarang premis itu daripada dibuka.

Itu gesaan yang dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) ekoran masih banyak kes pelanggaran arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan pusat hiburan terbabit.

“Setiap hari ada sahaja tindakan yang membabitkan pusat hiburan walaupun premis itu sehingga ke hari ini masih tidak dibenarkan beroperasi serta masih berada dalam senarai terlarang, tetapi mereka buat sendiri.

“Jadi, saya sudah berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) supaya menyampaikan arahan kita kepada PBT kerana ada kelab malam yang saya lihat masih lagi berdegil,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung yayasan itu kali ke-27 di Hotel Mudzaffar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Naib Presiden Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sudah memutuskan supaya tindakan lebih keras diambil termasuk membatalkan serta menyenarai hitam lesen perniagaan pusat hiburan yang terus berdegil.

Bagaimanapun ujar beliau, kuasa membatalkan lesen tersebut terletak di bawah kerajaan negeri walaupun PBT berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sebab itu saya harap majlis daerah, majlis perbandaran atau majlis bandaraya supaya patuhlah kepada saranan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan.

“SOP ini sudah pun ditetapkan, saya harap kerjasama perlu diberikan oleh mereka untuk menghalang pusat-pusat hiburan ini daripada meneruskan aktiviti haram mereka. Bagi saya (aktiviti itu) haram kerana kita tak benarkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed