by

Pegawai imigresen didakwa terima rasuah RM3,000

News Sources:

SHAH ALAM: Seorang Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah semalam atas pertuduhan memperoleh suapan RM3,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap satu siasatan dikendalikannya.

Zulkifly Za’par, 46,  pegawai di Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), didakwa di sebuah pusat perubatan swasta di sini yang  masih dirawat kerana menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.

Tertuduh didakwa memperoleh rasuah RM3,000 untuk dirinya daripada seorang individu melalui pihak ketiga sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kertas siasatan berkaitan kesalahan cap keselamatan palsu yang sedang disiasatnya.

Pegawai Imigresen tersebut didakwa melakukan perbuatan itu pada 21 November tahun lalu di Jalan Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.  Tertuduh diwakili peguam S.M. Rishee.

Pendakwaan dikendalikan di hadapan Hakim Azura Alwi di sebuah ruang khas di pusat perubatan itu dengan kehadiran Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria bagi pihak pendakwaan. Tertuduh yang berkerusi roda mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan.

Azura membenarkan Zulkifly dibebaskan dengan jaminan RM15,000 serta mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai manakala tertuduh dikehendaki hadir di Pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah turut mengeluarkan larangan agar tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sama ada melalui pertemuan atau secara maya seperti laman sosial dan sebagainya.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 Januari tahun depan.

Terdahulu, pendakwaan sepatutnya dijalankan di mahkamah namun adik tertuduh hadir memaklumkan abangnya dirujuk ke pusat perubatan tersebut sambil mengemukakan sijil cuti sakit.

Selepas meneliti sijil cuti sakit, Siti Noor Hafizan kemudian memohon arahan mahkamah berhubung pendakwaan terhadap Zulkifly kerana dia tidak hadir ketika kes terhadapnya disebut kali pertama pada 11 Disember lalu.

Azura kemudian memerintahkan pegawai itu dituduh di pusat perubatan tersebut.  Adik tertuduh juga memaklumkan kesediaan menjamin abangnya. – UTUSAN

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed