by

Pekerja asing di restoran pun akan disaring

News Sources:

PUTRAJAYA: Kerajaan berkemungkinan besar akan memperluaskan program saringan Covid-19 ke atas semua warga asing yang bertugas di setiap restoran di seluruh negara.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan kelonggaran semula operasi kedai makan yang membenarkan pelanggan makan di premis.

“Saya percaya Kementerian Sumber Manusia akan buat penelitian kerana sepatutnya pekerja asing di restoran juga wajar kena jalani ujian saringan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ketika ini, ujian mandatori itu hanya melibatkan semua rakyat asing yang bertugas di sektor perkilangan dan pembinaan ekoran banyak kluster wabak tersebut melibatkan kelompok ini.

Ia mula dilaksanakan pada 1 Disember tahun lalu melibatkan empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum diperluaskan kepada baki negeri yang lain mulai 1 Februari lepas.

Ditanya mengenai individu yang bekerja menyara hidup dengan menjala ikan atau mencari cengkerang untuk merentas daerah atau negeri, beliau berkata, polis sedia beri kebenaran.

“Saya telah berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara dan beliau setuju agar individu sebegini boleh memohon di balai atau pondok polis yang berhampiran,” kata Ismail Sabri.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran kepada pemancing ikan yang perlu menyara keluarga mereka dan bukan bertujuan hobi untuk tujuan berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti perikanan komersial dibenarkan namun seperti juga peniaga pasar malam, mereka perlu dapat kebenaran polis jika mahu merentas kawasan.

Menyentuh mengenai isu berita palsu, beliau turut meluahkan perasaan kesal apabila ada warganet tidak bertanggungjawab memainkan semula rakaman video lama dirinya sendiri.

“Ingin saya tegaskan bahawa video yang tular itu adalah rakaman lama bertarikh 14 April 2020 bagi menimbulkan suasana panik dan kemarahan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Video disebarkan baru-baru ini ujarnya, mengaitkan konon beliau mengumumkan hukuman pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sedangkan ia merujuk keadaan pada masa itu.

Justeru, Ismail Sabri memberi amaran tindakan boleh diambil pihak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyebarkan kandungan sedemikian.

Setakat semalam, 281 kertas siasatan dibuka meliputi 144 kes masih dalam siasatan, 12 kes diberi amaran dan 35 kes sudah didakwa dengan 21 kes daripadanya didapati bersalah.

Beliau juga mengingatkan netizen tempatan yang mendakwa konon kelab malam, pusat hiburan dan karaoke hiburan bebas dibuka padahal premis itu tidak pernah dibenar beroperasi.

“Ia masih dalam senarai dilarang dan sejak 18 Mac 2020 hingga 31 Januari lalu, polis sudah pun menahan 4,666 individu melibatkan sejumlah 951 premis di seluruh negara,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed