by

Pekerja asing positif kembali turun kepada 43 orang

News Sources:

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing yang disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 di seluruh negara mula kembali turun setelah meningkat untuk dua hari berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka direkodkan Kementerian Sumber Manusia semalam hanya 43 orang berbanding 94 orang kelmarin.

“Kementerian itu memaklumkan sejumlah 10,321 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara kumulatif, ujarnya, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 343,537 individu selesai melakukan ujian mandatori itu dan melibatkan penyertaan sejumlah 15,297 majikan.

Katanya, saripada jumlah tersebut, cuma 6,457 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan manakala selebihnya iaitu seramai 336,080 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,322 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari, ujian dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelumnya.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau Kementerian Sumber Manusia.

Kementerian itu menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing disaring menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya Perkeso. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed