by

Pelajar antarabangsa dibenar masuk Malaysia 1 Januari

News Sources:

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa (kecuali United Kingdom) bagi Institusi Pendidikan Swasta (IPS) kategori Pusat berkuat kuasa 1 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  IPS itu melibatkan pusat bahasa, pusat kemahiran, pusat  latihan, pusat tuisyen dan pusat perkembangan minda yang  berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Kata beliau, kemasukan kumpulan pelajar itu diuruskan Education  Malaysia Global Services (EMGS) dan perlu mengikuti garis  panduan serta prosedur ditetapkan Jabatan  Imigresen, Majlis Keselamatan Negara (MKN)  dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari  semasa ke semasa. 

“Hanya pelajar sedia ada yang diluluskan permohonan dan mendapat visa dari  Jabatan Imigresen  dibenarkan selain perlu melakukan ujian saringan Covid-19  tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan melakukan ujian sekali lagi  setibanya di pintu masuk negara. 

“Mereka perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin  yang diwartakan kerajaan dan kos ujian calitan Covid-19 dan kuarantin perlu  ditanggung pelajar berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pergerakan kapal-kapal Non Convention Ships (NCS) di Sabah dibenarkan hanya bagi aktiviti transhipment.

Katanya, kebenaran itu hanya bagi tujuan penghantaran lambakan baki stok barangan sedia ada di gudang-gudang di pelabuhan  Sandakan dan Tawau berkuat kuasa sehingga 15 Januari ini.

Sementara itu, beliau menegaskan, mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan melaksanakan ujian saringan Covid-19 untuk semua pekerja warga asing mereka bakal dikenakan tindakan bermula 1 Januari ini.

Kata beliau, tindakan itu dilaksanakan  di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit (Akta 342) memandangkan masih terdapat ramai majikan enggan memberi kerjasama mematuhi arahan tersebut sejak dikuatkuasakan pada 1 Disember lalu.

Sehingga kini, katanya,  Kementerian Sumber Manusia mengesahkan  seramai 49,248 pekerja warga asing menjalani ujian  saringan Covid-19 melibatkan 1,990 majikan. 

“Kerajaan juga ketika ini sedang mempergiat pemeriksaan  terhadap rumah pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan  Kemudahan Pekerja (Akta 446) dan sehingga kini sebanyak 12  syarikat dan 27 pertuduhan dikenakan ke atas majikan yang ingkar. 

“Majikan juga diwajibkan menanggung kos kuarantin dan rawatan bagi pekerja warga  asing positif Covid-19 yang dipindahkan ke hospital  atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” katanya. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed