by

Pelan tindakan isu daging seludup tumpu tangani salah guna logo halal

News Sources:

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggaris enam perkara melalui Pelan Tindakan Menangani Isu Daging Seludup dalam memastikan aktiviti penyeludupan daging haram dan daging yang tidak berlogo serta tidak diiktiraf Jakim dapat ditangani secara menyeluruh.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya yang menginsafi isu penyeludupan daging yang berlaku ketika ini mengambil tindakan segera selain melakukan penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaharu yang akan dimuktamadkan pada Januari ini. 

Beliau yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Jakim berkata, pelan terbabit merangkumi perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan bidang kuasa, langkah menyeluruh dan pelan bersepadu di mana pertemuan akan dilakukan pada 5 Januari ini. 

“Kita akan mengadakan Perbincangan Meja Bulat (RTD) dengan pengimport dan pengedar daging serta produk daging dengan KPDNHEP, Maqis dan JKDM pada pada 11 Januari serta mempromosi 84 badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim membabitkan 46 buah negara.

“Jakim akan mengadakan lawatan pemantauan ke atas pengimport daging, pemegang SPHM dan rumah sembelih dengan meningkatkan aktiviti pemeriksaan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan melakukan penambahbaikan SOP pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan akan menambah baik piawaian halal terutamanya yang membabitkan daging dan produk daging import.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menilai semula bagaimana negara pengeksport memperoleh pensijilan halal ke atas semua produk yang dieksport ke negara ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya juga akan menggandakan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat melalui sketsa pendek bertujuan menerangkan SOP pengimportan daging dan produk daging ke Malaysia.

“Jakim berharap pihak industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan menggalakkan untuk membuat permohonan SPHM agar tiada lagi isu yang terkait dengan penyeludupan daging haram serta daging yang tidak berlogo serta yang tidak diiktiraf oleh JAKIM.

“Kami ingin menegaskan yang Jakim akan melaksanakan tugasan dengan penuh amanah, pantas dan berintegriti,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan Maqis melakukan serbuan bersepadu di sebuah gudang di Senai, Johor pada 1 Disember lalu. 

Serbuan terbabit membongkarkan aktiviti kartel yang menyeludup daging sejuk beku yang diragui status halalnya dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel ini membungkus semula daging itu menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh negara. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed