by

Pemergian anak jadi igauan – Utusan Digital

News Sources:

BALIK PULAU: Ibu kepada seorang mangsa amukan ‘ombak besar’ tsunami yang mengorbankan anak sulungnya itu ketika sarat mengandung tujuh bulan pada 26 Disember 2004 masih tidak dapat memadamkan tragedi hitam tersebut dalam fikirannya biarpun sudah 16 tahun berlalu.

Noridah Mohd. Noor, 59, berkata, sehingga ke saat ini, wajah anak perempuan daripada enam beradik, Irdawati Sahimi yang ketika kejadian berusia 22 tahun masih terpahat dalam ingatan dan akan dikenang sehingga akhir hayatnya.

Kongsi Noridah, semangat dan kecekalan dirinya dalam menempuhi kehidupan harian selepas kematian anaknya itu kini menjadi semakin bertambah pulih selepas hampir tiga tahun mengalami tekanan perasaan.

“Tiada kata-kata lain yang dapat diungkapkan selain luahan rasa rindu yang teramat terhadap arwah Kak Long (Irdawati). Saya masih teringat riak wajah terakhirnya ketika keluar rumah dengan membonceng motosikal bersama suami dan anak sulungnya yang ketika itu berusia tiga tahun.

“Mak, Kak Long pi (pergi) dulu. Nanti mak ikut. Itu kata-kata terakhir yang sempat diucapnya semasa motosikal yang dinaiki mereka tiga beranak membelok sebelah rumah saya.

“Saya masih ingat lagi, mereka keluar rumah kira-kira pukul 9 pagi untuk pergi berkelah bersama saudara-mara lain termasuk adik dan ibu saya di Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong,” katanya dalam nada sebak kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Permatang Tepi, di sini semalam.

Cerita warga emas itu lagi, jantungnya menjadi berdebar-debar dan berasa takut untuk keluar dari rumah setiap kali tibanya tarikh 26 Disember setiap tahun.

“Tarikh keramat itu akan dikenang sehingga ke akhir hayat saya. Saya akan lebih berhati-hati pada tarikh ini termasuk memastikan anak-anak dan cucu tidak pergi ke laut sama ada untuk berkelah atau memancing ikan.

“Tragedi itu seperti baharu sahaja berlaku. Arwah kerap datang dalam mimpi terutama ketika saya mengalami demam atau diserang penyakit gout. Arwah datang dengan memakai pakaian serba putih sambil tersenyum kepada saya dan anaknya, Muhammad Aiman Sazali, 19 tahun,” katanya.

Jelasnya, cucunya, Aiman tinggal bersamanya sejak kematian anaknya itu 16 tahun lalu dan diberi sepenuh kasih sayang dan didikan sehingglah tamat sesi persekolahan tingkatan lima.

“Sejak arwah suami, Sahimi Othman meninggal dunia empat tahun lalu akibat serangan jantung, Aiman dan dua cucu lain serta anak sayalah menjadi pengubat hati dan tempat saya menumpang kasih.

“Aiman juga akan menemani saya ke pusara ibunya di Kampung Paya, Simpang Ampat dan menghadiahkan pisang kepada kanak-kanak di sini termasuk menyediakan bungkusan nasi lemak kepada jemaah di masjid berhampiran,” katanya.

Noridah juga merupakan kakak keempat kepada pemandu bas, Zulkifli Mohd. Noor, 59, yang kehilangan lima anaknya termasuk seorang lelaki secara serentak semasa berkelah di pantai berkenaan.

Mengenai perkara yang tidak dapat dilupakannya sehingga ke hari ini, jelas warga emas ini lagi, dia masih terbayang saat anggota keselamatan membawa jenazah anaknya di dalam bungkusan plastik hitam di Hospital Balik Pulau.

“Waktu itu pukul 7 malam. Saya menunggu berita penemuan anak di hospital bersama adik (Zulkifli). Saya berkali-kali meminta kepada anggota polis supaya membuka bungkusan tersebut untuk melihat siapa di dalamnya.

“Mereka (anggota polis) pada mulanya tidak membenarkan saya mendekati jenazah tersebut namun saya merayu untuk melihatnya sebelum dibawa masuk ke bilik mayat.

“Luruh hati seorang ibu sebaik mendapati jenazah dalam bungkusan hitam itu ialah anak saya. Saya lihat ada tanda tahi lalat pada kakinya. Kaeadaanya tidak ngeri hanya lebam kaki,” katanya.

Tambahnya, mayat Irdawati ditemui tersangkut pada pukat di sempadan perairan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed