by

Pemuda tunggang motosikal lebih 200 kilometer jual dadah dicekup

News Sources:

KEMAMAN: Hasrat seorang lelaki dipercayai pengedar dadah menunggang motosikal lebih 200 kilometer dari Jerteh, Besut untuk menjual barangan terlarang itu di daerah ini terbantut selepas ditangkap polis, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan bersama dadah bernilai kira-kira RM28,500 di tepi Jalan Gelugor, Kampung Tengah di Kerteh di sini, pada pukul 9.30 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap beg sandang suspek menemukan sembilan paket plastik berwarna biru yang mengandungi 1,800 pil disyaki pil kuda seberat 174.91 gram.

“Lelaki itu ditahan kerana keadaannya yang mencurigakan dan berlaku sedikit pergelutan apabila suspek enggan memberi kerjasama dengan pihak polis.

“Polis turut merampas tiga botol plastik bertudung kuning berisi serbuk berwarna putih dipercayai dadah seberat 16.64 gram dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini semalam.

Mohd. Haki berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan kini direman selama tujuh hari hingga Khamis ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah membabitkan Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek turut mempunyai empat rekod lampau membabitkan samun, culik, pecah rumah dan ugutan jenayah.

“Penahanan terbaharu ini merupakan tangkapan ke-67 bagi Seksyen 39B di IPD Kemaman, tahun ini dan kita masih meneruskan operasi besar-besaran, jihad dadah bagi memastikan tiada tokan dadah di daerah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed