by

Pemuda UMNO Shah Alam nafi desak Ahmad Zahid letak jawatan

News Sources:

SHAH ALAM: Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam menafikan sekeras-kerasnya mendesak Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya meletak jawatan.

Ketuanya, Mohd. Dendera Billah Zamzuri menegaskan, pihaknya tidak sesekali melakukan perbuatan itu dan sentiasa menyokong penuh institusi parti diterajui Ahmad Zahid itu yang sah mengikut sisi perlembagaan.

“Perbuatan ini sengaja dilakukan pihak luar untuk melagakan dan menganggu gugat keharmonian parti.

“Pemuda UMNO Shah Alam mengutuk perkara yang dianggap politik kotor dan meminta semua pihak tidak memporak-perandakan parti yang sentiasa berjuang demi rakyat,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Seksyen 6 di sini, petang tadi.

Terdahulu, tular dalam laman sosial beberapa kain rentang digantung oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar bandar raya ini pagi tadi yang tertera ayat ‘Presiden Berundur dari Jawatan beliau sebagai Presiden UMNO’.

Tambah Mohd. Dendera, pihaknya telah mengarahkan seluruh ahli jawatankuasa pergerakan untuk menurunkan tujuh kain rentang tersebut.

“Oleh demikian, saya berharap polis dapat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pihak yang melakukan perbuatan itu.

“Saya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pada tengah malam atau awal pagi,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail turut menafikan penglibatan mana-mana Pemuda Bahagian di negeri ini menggantung kain rentang itu.

“Tindakan ini sengaja dilakukan oleh pihak musuh politik dalam menggugat keharmonian dan cubaan melagakan ahli UMNO.

“Perbuatan ini amat memalukan dan dianggap sebagai tiada maruah,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed