by

Penderma darah baharu meningkat 10 peratus di HTF

News Sources:

KANGAR : Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini menerima peningkatan sebanyak 10 peratus bekalan darah daripada penderma baharu pada minggu lalu.

Pakar Perubatan Unit Transfusi HTF, Dr. Wan Noor Falah Wan Yahaya berkata, sepanjang tempoh tersebut, pihaknya juga berjaya mengumpulkan sebanyak 230 pek darah daripada penderma baharu dan berkala.

Katanya, pihaknya memerlukan lebih ramai penderma berkala bagi memastikan tiada penyusutan bekalan darah seperti minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Jumlah pek darah pernah jatuh kepada 100 pek seminggu pada awal PKP lalu berbanding sasaran sebanyak 150 hingga 200 pek bagi tempoh yang sama.

“Buat masa ini, bekalan darah adalah mencukupi, cuma, mungkin ada sedikit kekurangan untuk darah jenis O. Oleh itu, kita memang memerlukan penderma berkala supaya bekalan ini tidak putus,” katanya ketika ditemui di HTF di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi meningkatkan lagi kesedaran serta menambahkan lagi bekalan darah, pihaknya juga menjalankan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan institusi pengajian tinggi untuk mengadakan kempen derma darah.

Menurutnya, satu kempen derma darah akan dianjurkan di unit tersebut oleh Kelab Patriot Chapter Perlis Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat N7-Sena, Kangar, Poliklinik Padang Sera dan Famila Cafe pada 20 Februari ini.

“Selain itu, kempen derma darah juga akan diadakan untuk pelajar pada 13 dan 26 Februari ini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis,” ujarnya.

Menurutnya, orang ramai dialu-alukan untuk menderma darah di Unit Transfusi HTF yang dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kecuali Ahad iaitu sehingga 1 tengah hari sahaja. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed