by

Pengecualian cukai harta rumah kos rendah perlu ikut saluran betul

News Sources:

JOHOR BAHRU: Pengecualian cukai harta rumah kos rendah bagi 2021 tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Seksyen 134 dan 135 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sebarang penambahan pengecualian menerusi seksyen tersebut tidak boleh terus dilakukan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menerusi proses rundingan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Pada masa ini, pengecualian hanya tertakluk di tempat awam, tanah perkuburan, sekolah awam dan tempat awam bagi maksud khairat atau bagi sains sastera atau seni halus seperti termaktub di bawah Seksyen 134.

“Sekiranya rundingan untuk pengecualian cukai harta bagi rumah kos rendah ditetapkan mengikut seksyen sedia ada, barulah perkara berkenaan dibahaskan di DUN bagi mendapatkan persetujuan sama ada cukai untuk rumah kos rendah dikecualikan atau tidak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas usul dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong yang mahu kerajaan memberikan pengecualian cukai harta bagi rumah kos rendah kepada rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Cadangan itu ditolak sidang DUN Johor awal bulan ini.

Hasni berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan tersebut namun bukan disebabkan kerajaan negeri tidak bersetuju dengan usul dibawa tetapi perkara tersebut perlu mengikut prosedur dan saluran yang betul.

“Saya berharap perkara ini jelas bagi menjawab persoalan daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor yang kesal apabila usul dibawa itu ditewaskan menerusi undi belah bahagian 29-27 pada persidangan DUN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memahami keluh kesah rakyat di semua peringkat yang terkesan akibat Covid-19 di samping pelbagai pendekatan sudah diambil bagi membantu rakyat.

Katanya, ia tidak terhenti di situ sahaja apabila kerajaan negeri terus mempergiat usaha mencari jalan terbaik meringankan beban rakyat sekali gus memulihkan ekonomi negeri supaya kembali rancak.

“Justeru, saya juga ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju mengkaji semula pelaksanaan kerja-kerja penilaian semula cukai harta bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini ekoran pandemik Covid-19.

“Dengan keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 9 Disember lalu itu, kadar cukai harta semua PBT bagi 2021 adalah kekal mengikut kadar sedia ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed