by

Pengeluaran lada negara akan dipertingkat

News Sources:

KULAI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran lada negara berikutan permintaannya yang semakin tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu dibuat kerana ketika ini pengeluaran lada tempatan diterajui Sarawak yang mengeluarkan produk khasnya iaitu Sarawak Black Pepper.

Pihaknya percaya Malaysia mampu mengembangkan pengeluaran produk tersebut menerusi usaha menambah kawasan penanaman lada yang dimulakan di Johor, sebelum diperluaskan ke negeri lain.

“Kementerian sudah mengarahkan Lembaga Lada Malaysia (MPB) supaya meletakkan sasaran bagi mengembalikan semula kegemilangan Johor sebagai pusat penanaman lada negara.

“Sekarang yang menerajui industri ini ialah Sarawak yang mana mereka telah mengeluarkan produk Sarawak Black Pepper. Tetapi di Johor, kita boleh memperluas lagi pengeluaran ke tahap lebih besar seperti dilakukan Vietnam yang merupakan pengeluar utama lada hitam dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Projek Rintis Ladang Lada yang diusahakan 23 peserta melibatkan keluasan 2.3 hektar di Felda Inas Utara di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khairuddin, harga semasa lada kini adalah antara RM10 sekilogram bagi lada hitam dan RM17 sekilogram (lada putih).

“Kita percaya harga ini akan menjadi semakin baik apabila lebih banyak penanaman diusahakan untuk menampung permintaan tinggi bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Ini kerana lada bukan hanya boleh digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan, tetapi turut diguna dalam sektor lain antaranya farmasi untuk ubat-ubatan dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu ditanya berkenaan masa depan industri sawit tempatan yang kini berdepan persaingan baharu melibatkan kacang soya, Mohd. Khairuddin berkata, pihaknya tidak khuatir kerana yakin komoditi sawit mempunyai kelebihan tersendiri.

“Tumbuhan sawit dan soya memenuhi keperluan berbeza di mana sawit bukan hanya diguna dalam sektor makanan tetapi juga untuk sektor industri, farmasi dan makanan binatang.

“Jadi kita suka persaingan kerana dengan adanya persaingan, kita akan dapat meningkatkan kualiti kerana dalam perniagaan, kualiti adalah penting,” katanya mengulas rancangan China meningkatkan pembelian kacang soya.

Pembelian itu untuk dijadikan sebagai minyak sekali gus menjadikan produk itu pesaing utama kepada industri lain termasuk makanan dan biodiesel. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed