by

Pengguna LPT2 disaran rancang perjalanan

News Sources:

KUALA TERENGGANU: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disaran merancang perjalanan mereka susulan kejadian banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di antara persimpangan bertingkat Sri Jaya dan Gambang di Pahang ketika ini. 

Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn. Bhd., Roszi Ibrahim berkata, mana-mana pelanggan yang telah memasuki lebuh raya itu dinasihatkan agar berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) disediakan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing sebaik banjir di LPT surut. 

Katanya, ketika ini semua laluan LPT2 di antara Kuala Terengganu ke Jabor masih boleh digunakan dan tidak terjejas dengan sebarang musibah banjir. 

“Oleh kerana LPT2 bersambung dengan LPT jadi kita minta pelanggan berhenti di R&R disediakan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

“Pelbagai kemudahan disediakan di R&R Perasing, Paka dan lain-lain untuk keselesaan orang ramai termasuk gerai makan, tandas awam, surau di samping tempat parkir yang luas dan mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Roszi, bagi mereka yang menuju ke Terengganu atau Kelantan dari Lembah Klang disaran supaya berhenti seketika di R&R Temerloh di LPT sebelum menyambung perjalanan. 

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat keadaan trafik termasuk perkembangan banjir menerusi laman Facebook LPT2 atau menghubungi LPT2Line di talian 1800-88-0220 atau talian bantuan LPT di 1700-81-8700. 

“LPT2 mendoakan perjalanan yang selamat untuk semua pelanggan dan mengambil langkah sewajarnya untuk menjaga pelanggan dengan baik sepanjang perjalanan,” katanya. – UTUSAN

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed