by

Peniaga pasar malam didakwa rogol anak tiri

News Sources:

IPOH: Peniaga pasar malam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuannya yang berusia 13 tahun, tahun lalu.

Tertuduh berusia 49 tahun dari Ayer Tawar, Manjung itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang juga mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun itu didakwa atas tiga pertuduhan melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuannya yang ketika itu berusia 13 tahun.

Perbuatan lelaki itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Batu 45, Kampung Banjar dekat Ayer Tawar, Manjung antara pukul 2 hingga 3.30 petang pada bulan Jun, Julai dan Disember tahun lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail dan peguam, Syahrul Nizam Mohd. Rabi.

Terdahulu, pada prosiding tersebut, Mohd. Waffy tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana bimbang lelaki itu akan mengganggu mangsa ekoran tempat tinggal mereka terletak berhampiran iaitu pada jarak 50 meter.

Mangsa tinggal bersama ibu saudaranya setelah kematian ibu kandungnya pada April tahun lalu.

Bagaimanapun, Syahrul Nizam memohon pertimbangan mahkamah agar jaminan diberikan selain menawarkan syarat tambahan untuk tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran dan membuat akujanji untuk tidak mengganggu mangsa.

Syahrul Nizam turut memberitahu bahawa anak guamnya juga akur sekiranya perlu berpindah ke kawasan lain dari tempat tinggal mangsa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri sekali pada setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan perubatan mangsa.

Tertuduh kemudiannya membayar jaminan tersebut. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed