by

Peniaga tiada pilihan, akur arahan kerajaan

News Sources:

SHAH ALAM : Walaupun Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang dikuatkuasakan bermula hari ini tidak dipersetujui peniaga, namun, golongan itu tetap aku dengan arahan kerajaan.

Rata-rata peniaga ayam Pasar Moden Seksyen 6, di sini mempamerkan harga kawalan iaitu RM7.90 bagi sekilogram haiwan ternakan itu walaupun sebelum ini dijual pada harga sehingga RM9.40 sekilogram.

Bagi peniaga ayam, Zailan Jamali, 46, dia terpaksa akur kerana tidak mahu disaman oleh pihak berkuasa.

“Kami tidak mempunyai pilihan selain mengikut arahan yang dikeluarkan. Walaupun hanya mendapat untung ‘nipis’ sahaja tetapi ia terpaksa dilakukan kerana tidak mahu berdepan tindakan saman.

“Peniaga ini peringkat akhir yang berhadapan dengan pelanggan dan mahu atau tidak, kami perlu akur walaupun menerima harga yang tinggi daripada pembekal.

“Saya berharap kerajaan bukan sahaja kawal harga peniaga tetapi tolong kawal daripada pihak pembekal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

SHMMP dikuatkuasakan sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang dijangka disambut pada 13 Mei hadapan.

Antara yang terlibat ialah ayam standard dijual pada harga RM7.90 sekilogram manakala daging lembu tempatan RM34 sekilogram.

Sementara itu, seorang peniaga daging, Iqbal Khan Ismail Khan, 35, memberitahu, harga daging lembu tempatan yang diterima daripada peladang adalah tidak sama dan ia bergantung kepada kadar harga penyembelihan seekor lembu tersebut.

Jelasnya, terdapat peladang yang menjual pada harga antara RM30 hingga RM31 sekilogram dan untuk peniaga sepertinya, mereka terpaksa akur dengan arahan untuk menjual pada harga RM34 sekilogram.

Bagaimanapun katanya, harga kawalan hanya diletakkan untuk daging lembu sahaja dan bagi menyeimbangkan keuntungan, mereka terpaksa menaikkan sedikit harga bahagian lembu yang lain seperti hati, limpa, paru, perut, tulang dan sebagainya.

Peniaga tidak diberikan pilihan dan sebagai orang yang berada di tengah iaitu antara pembekal dan pembeli, kami terpaksa akur jika tidak mahu sebarang tindakan dikenakan.

“Keuntungan kami bukannya besar dan mahu atau tidak, kami terpaksa naikkan sedikit harga bahagian lembu yang lain selain turut mempelbagaikan pilihan seperti menjual kulit lembu, daging kambing dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Noraini Mohd. Ali, 65, yang tinggal di Seksyen 7 berasa lega apabila harga barangan seperti ayam yang sebelum ini mencecah sehingga RM9 sekilogram telah diturunkan kepada RM7.90 sekilogram bermula hari ini.

“Pasar Moden Seksyen 6 ini menjual barangan segar dengan harga yang berpatutan.

“Melihat harga ayam dan daging lebih murah berbanding sebelum ini, saya sudah tidak bimbang lagi untuk membuat pengiraan untuk perbelanjaan dapur menjelang Hari Raya nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed