by

Penjenayah atas apa nama sekalipun tetap penjenayah

News Sources:

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri minggu lalu tampil memberi nasihat kepada pendakwah termasuk golongan pendakwah selebriti.

Dia berharap perilaku kurang elok yang mencalar nama baik Islam dan imej pendakwah tidak berterusan pada tahun hadapan.

Ia hanya mewujudkan pandangan serong kepada golongan itu.

“Tolonglah jaga, termasuk diri saya. Saya tok sey (tidak mahu) dengar pencabulan.

“Kalau ustaz dengan gambar-gambar sekali (dipaparkan)… Dua minit kita tahu dah siapa (pelakunya),” katanya dilaporkan media.

Dia turut berseloroh supaya pendakwah berpoligami daripada melakukan jenayah seksual seperti mencabul.

“Nikah dua, nikah tiga, nikah empat tak mengapa. Tapi cabul ini, Allah… Nak ulang perkataan itu pun tak sedap bunyinya,” katanya.

Dia juga menegaskan perlunya saling menasihati dan mengingati di kalangan pendakwah.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu dihormati bukan sahaja kerana rendah dirinya tetapi sering dilihat sebagai suara rasional dan moderat (voice of rationality and moderation) dalam penjelasannya mengenai isu-isu membabitkan Islam.

Sebelum ini media membuat laporan berhubung pendakwaan terhadap seorang pendakwah selebriti berhubung dakwaan salah laku seks. Sebagai pendakwah selebriti dia menjadi tumpuan masyarakat. Terdapat dakwaan bahawa media mencari kesalahan golongan berkenaan. Ada juga yang mahu media tidak mensensasikan kes jenayah membabitkan golongan agamawan. Ada saranan supaya perkara buruk harus ditutup sekiranya ia tidak menjejaskan kepentingan awam.

Ada menyatakan laporan itu bertujuan melariskan berita dan Islam itu mengajar umatnya menutup perkara aib yang boleh mendorong perkara sama dilakukan orang lain. Baru-baru ini timbul berita “Ustaz Budak” yang dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel.

Susulan itu, polis menerima laporan daripada dua orang bekas pelajarnya yang membuat laporan di Kuang, Selangor dan Balai Polis Bayan Lepas. Kedua-dua laporan itu timbul selepas tertuduh didakwa di mahkamah. Mangsa-mangsa ini tampil selepas tertuduh didakwa.

Harus diingat “ustaz budak” ini hanya segelintir daripada puluhan ribuan pendakwa atau ustaz yang sebenarnya menegakkan Islam dan ajaran Allah. Tiada siapa harus menidakkan peranan golongan ini. Masalah “pencabul yang bertopeng agama” berlaku dalam setiap agama dan bukan eksklusif. Vatican sebelum ini digegarkan dakwaan sama.

Tetapi penjenayah sama ada orang biasa, ahli politik atau pendakwah tetap penjenayah dan tidak bebas daripada hukuman.

Seperti kes “Ustaz Budak” tidak diketahui berapa ramai mangsanya. Tidak diketahui berapa ramai lagi “pencabul” seperti ini dalam masyarakat yang menggunakan agama bagi membeli kepercayaan.

Mangsa-mangsa cabul “penjenayah agama” ini berhak kepada pembelaan. Siapa yang bertanya tekanan emosi yang mereka alami selepas kejadian. Apakah hidup mereka akan sempurna sepanjang hayat dengan insiden yang menjadi detik hitam itu?

Pernah ada yang bertanya tekanan emosi kerana dakwaan mereka tidak dipercayai? Mereka adalah mangsa dan mereka berhak mendapat keadilan sewajarnya.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed