by

Penyeludupan daging import haram dikuasai rangkaian sindiket luas

News Sources:

KUALA LUMPUR : Kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status halal dipercayai melibatkan rangkaian yang luas serta didalangi sindiket di dalam dan luar negara.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan menyeluruh merangkumi pihak terlibat dalam perolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat serta membawa masuk daging sejuk beku melalui permit import (AP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini, sebanyak 13 laporan polis dibuat orang awam di seluruh negara yang melahirkan kegusaran setelah membaca laporan khas mengenai serbuan di sebuah gudang di Senai, Johor dan pendedahan eksklusif oleh akhbar tempatan berkaitan kegiatan syarikat yang menyeludup daging import secara haram sebelum menukar status halal daging berkenaan.

Kata Huzir, PDRM memandang serius perkara ini dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama pelbagai agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Vaterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam kewajaran tindakan ke atas sindiket terlibat.

Jelas Huzir, dengan mengambil kira justifikasi seperti mencetuskan kegusaran rakyat di negara ini terutamanya isu yang menyentuh sensitiviti agama dan menjejaskan imej negara sebagai sebuah hub halal.

“Selain, siasatan dijalankan terhadap ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perdayaan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab dan memberikan kesan yang besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir menambah, siasatan akan dilakukan oleh Jabatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.

Tambah Huzir, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan selain diingatkan untuk tidak menularkan berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed