by

Perak ajak penggemar coklat ke Pangkor  

News Sources:

IPOH: Perak mengajak pelancong melancong sambil membeli coklat di pulau bebas cukai,Pulau Pangkor setelah coklat dilaporkan habis diborong di Pulau Langkawi, Kedah. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, stok coklat di Pulau Pangkor masih banyak dan kini menawarkan promosi jualan murah.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk melancong ke pulau itu sambil membeli coklat.

“Kita difahamkan daripada premis-premis yang menjual coklat di Pulau Pangkor, sekarang ini ada promosi jualan murah sempena hujung tahun. 

“Jadi kalau coklat habis di Pulau Langkawi, orang ramai boleh berkunjung ke Pulau Pangkor pula untuk mendapatkannya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Inisiatif Sektor Pelancongan Negeri Perak Di Bawah Peruntukan Bajet 2021 di sini hari ini. 

Utusan Malaysia semalam melaporkan bekalan coklat pelbagai jenama import didakwa habis diborong pelancong di pekan Kuah, Langkawi.

Tinjauan di beberapa premis bebas cukai lain mendapati bekalan coklat termasuk jenama import masih ada.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, terdapat peningkatan pengunjung di pulau bebas cukai Pulau Pangkor sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan di Perak awal bulan ini. 

“Berikutan itu kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa khas di Pulau Pangkor dan Lumut khusus untuk pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita mendapati kesesakan pengunjung berlaku di jeti di pulau berkenaan kerana jeti yang agak kecil dan kita tidak mahu keadaan itu menjadi isu ingkar SOP,” katanya. 

Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menganjurkan program pelancongan selain menaik taraf infrasturktur pelancongan tahun depan.

Menurutnya, antara inisiatif tersebut adalah pemberian RM700 kepada 300 pemandu pelancong, RM2,000 kepada 200 syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan serta 10,000 keping baucar #TravelPeraklah dan RM10,000 kepada 12 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelancongan di Perak. 

“Daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM4.4 juta untuk naik taraf infrastruktur pelancongan termasuk Ban Pecah di Tanjung Piandang dan Pulau Bangau di Teluk Intan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed